PEMUDA UMNO NEGERI SEMBILAN GESA KERAJAAN BENARKAN PENGELUARAN ‘ONE OFF’

BELANJAWAN 2021: BENARKAN PENGELUARAN SECARA ‘ONE OFF’

Pemuda Umno NS

Jumaat lalu seluruh negara menanti-nantikan pengumuman Belanjawan 2021 daripada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz. Kemungkinan ini merupakan Belanjawan yang paling ditunggu-tunggu rakyat tatkala negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Rakyat mengharapkan dengan pengumuman daripada Kerajaan itu, ia setidak-tidaknya dapat membantu mereka untuk berhadapan dengan pelbagai masalah kewangan yang sedang dialami ketika ini. Benarlah jangkaan ramai, apabila Belanjawan yang diumumkan itu benar-benar memberi fokus kepada pemulihan ekonomi di dalam suasana pandemik ini.

Pun begitu, ketika ia tertumpu kepada kebajikan rakyat terutamanya kepada mereka yang kehilangan pekerjaan termasuk kepada barisan hadapan negara, ia masih dilihat masih ada kekurangan. Masih ada ruang yang lebih baik untuk Kerajaan umumkan di dalam Belanjawan negara tahun hadapan. Masih boleh dibaiki kerana terlalu banyak kelompongannya.

Antaranya, adalah pengeluaran Akaun Satu di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), walaupun kita berterima kasih kepada Kerajaan kerana menerima cadangan UMNO ini tetapi ia masih tidak mencukupi. Pengeluaran yang dihadkan kepada RM500 sahaja setiap bulan selama setahun dengan had sebanyak RM6,000 dianggap terlalu kecil untuk membantu mereka yang terkesan dengan keadaan ekonomi yang amat dasyat hari ini.

Mengambil kira kos saraan hidup yang semakin tinggi, ia tidak banyak membantu. Yang rakyat mahukan adalah sebuah bantuan yang boleh menjamin mereka meneruskan kelangsungan hidup ketika kebanyakkan mereka hari ini hilang pekerjaan dan dipotong gaji oleh majikan.

Bagi tujuan itu, Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan semula kebenaran pengeluaran Akaun Satu KWSP ini dengan membenarkan pengeluaran secara ‘one off’ iaitu melalui pengeluaran sekurang-kurannya berjumlah RM5,000. Ini sekali gus dapat membantu mereka menggunakan dana tersebut untuk membayar hutang piutang ataupun menjadikannya sebagai modal memulakan perniagaan.

Jika tidak pun, naikkan lah jumlah had pengeluaran bulanan itu kepada sekurang-kurangnya RM2,000 untuk tempoh lima bulan. Yang paling penting adalah wang berkenaan bertujuan untuk digunakan oleh rakyat bagi menyara keluarga mereka. Kita tidak mahu ketika negara sedang pesat membangun, tetapi dalam keadaan sekarang, ada di kalangan rakyat kita yang hidup dalam kelaparan. Ini perlu dielakkan.

Tidak cukup dengan itu, pengeluaran simpanan KWSP janganlah dibuat secara bersasar sahaja. Biarlah dibuat secara menyeluruh. Benarkan semua pemilik akaun membuat pengeluaran. Kerana di saat sukar ini, semua rakyat terjejas. Tidak ada seorang pun yang tidak terjejas dengan keadaan ekonomi hari ini. Maka, bantulah semua rakyat. Kerana kita semua terjejas. Kita semua sedang berhadapan dengan saat sukar ketika ini. Maka, tolong lah kami.

Benar. Ada yang mendakwa bahawa wang KWSP adalah merupakan simpanan masa depan. Tetapi, yang penting adalah kelangsungan hidup hari ini. Bagaimana hendak pastikan masa depan yang baik sekiranya kehidupan hari ini pun penuh dengan pelbagai masalah kewangan. Ini perlu diambil kira sebaik-baiknya.

Apa pun, saya percaya bahawa Kerajaan yang ada pada hari ini prihatin dengan masalah rakyatnya. Di atas keprihatinan itu, cadangan-cadangan ini akan dipertimbangkan oleh Kerajaan untuk memastikan setiap rakyat terbela. Yang paling penting rakyat perlulah sentiasa diutamakan.

Apa guna diumumkan Belanjawan terbesar dalam sejarah negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM322.5 bilion, tetapi ia tidak menyeluruh. Tumpuan seharusnya diberikan kepada kebajikan rakyat. Kerana akhirnya yang akan menjana ekonomi negara adalah rakyat secara keseluruhannya.

Elakkan bersikap syok sendiri. Berbincanglah sesama sendiri di dalam Kerajaan supaya penambahbaikan dapat dilakukan. Bermuafakatlah sesama kita. Ibarat kata peribahasa perpatih ” Bulat Waris mengadakan Buapak, Bulat Buapak mengadakan Lembaga”. Renungkanlah bersama. Sesuai dengan tema Belanjawan 2021, teguh kita, menang bersama.

8 November 2020

DATO’ MOHD ZAIDY ABDUL KADIR
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker