Pengecualian cukai bas baru tiada manfaat

KOTA BHARU: Insentif pengecualian cukai bagi pembelian bas baru dalam Belanjawan 2021, tidak membawa manfaat kepada pengusaha bas yang kini dalam keadaan getir untuk meneruskan perniagaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Kelantan, Che Ibrahim Che Ismail dalam keadaan ekonomi yang begitu mencabar, tiada pengusaha bas yang akan membeli bas baru kerana bas sedia ada pun tersadai dan tidak boleh beroperasi.

Katanya, pengusaha sekarang mencari jalan hendak menampung kos dan meneruskan operasi dengan kemerosotan pendapatan yang mendadak.

“Kita menyeru kerajaan mempertimbang pemberian moratorium kepada semua pengusaha sehingga Perintah Kawalan Pergerakan akibat COVID-19 ini ditamatkan.

“Moratorium ini hendaklah diberikan tanpa bersyarat kepada pengusaha bas dan harus membabitkan syarikat kredit, tidak hanya institusi perbankan.

“Pengenaan faedah akibat penjadualan semula pinjaman daripada bank dan syarikat kredit patut dikecualikan,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim berkata, pihaknya memohon agar kerajaan mengkaji semula kelayakan pengusaha untuk menerima Program Subsidi Upah (PSU) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRIHATIN).

“Had bilangan pekerja yang layak menerima faedah PSU ini tidak harus dihadkan kepada 200 orang untuk satu syarikat, sebaliknya hendaklah mengikut jumlah pekerja seperti yang didaftarkan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Tempoh program ini yang dijadual berakhir pada 31 Disember 2020 juga perlu dilanjutkan mengikut kesesuaian berpandukan kepada situasi semasa,” katanya.

Beliau berkata, susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu di hampir semua negeri Semenanjung bermula esok, pengusaha bas kini semakin terhimpit.

Katanya, segelintir pengusaha mahu menghentikan operasi kerana tidak mampu menanggung kos operasi.

BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *