Tiada pembelian panik di Selangor

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor terus melaksanakan pemeriksaan terhadap bekalan barangan keperluan di negeri ini, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 6 Disember depan.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah, berkata pemeriksaan dan tinjauan sedang giat dijalankan membabitkan 200 pegawai penguatkuasa serta 77 pegawai pemantau harga bagi meninjau sama ada berlakunya pembelian panik.

“Pemantauan berterusan juga dilakukan untuk memastikan bekalan barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, telur dan barangan basah sentiasa mencukupi sepanjang tempoh PKPB ini.



“Selain itu, pihak KPDNHEP Selangor ingin memastikan bahawa tidak berlakunya manipulasi harga dalam kalangan peniaga yang mana akhirnya akan membebankan rakyat serta pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati tidak berlaku pembelian panik oleh pengguna dan suasana perniagaan berlangsung seperti biasa.

Katanya, pemeriksaan ke atas bekalan semasa barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, susu tepung, biskut, sardin, mi segera, telur ayam, makanan sejuk beku dan sebagainya didapati mencukupi bagi kegunaan pengguna di negeri ini.

“Kebanyakan peniaga yang ditemui juga memaklumkan, tiada pembelian panik berlaku di premis mereka dan peningkatan jualan adalah biasa kerana sektor ekonomi berjalan seperti biasa.



“Pengguna ditemui juga memaklumkan mereka berbelanja seperti biasa dan tiada pembelian berlebihan dibuat walaupun PKPB akan bersambung sehingga 6 Disember,” katanya.

Muhamad Zikril Azan turut menegaskan, bahawa pihaknya akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari di semua daerah di Selangor supaya keperluan barangan makanan tidak terganggu

Beliau turut menasihatkan pengguna, membuat pembelian berhemah dan dalam kuantiti yang wajar bagi keperluan semasa manakala peniaga diberi amaran, tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Dalam pada itu, sebanyak 6,526 aduan membabitkan pelbagai isu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.



Beliau berkata, sebahagian besar aduan membabitkan harga barangan iaitu 2,061 manakala isu barang keperluan asas sebanyak 127 aduan.

Bn Online

FELDA Adalah “Lubuk Harta Karun” Yang Menjadi Rebutan Penyamun Politik



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button