Piala Malaysia ditangguh – Ismail Sabri

3614f5cdc74b20a24994e261e17cabe95fa41be2889dd

KUALA LUMPUR, 9 Nov — Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini memutuskan saingan Piala Malaysia 2020, akan ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Walaupun buat masa ini pertandingan bola sepak diadakan tanpa penonton, namun MKN berpendapat sukan itu melibatkan sentuhan antara pemain yang boleh menyebabkan risiko jangkitan COVID-19.

“Aktiviti (bola sepak) agak berbahaya kerana ada sentuhan dalam keadaan basah dan berpeluh, jadi sentuhan itu boleh dianggap bahaya. Kalau sukan badminton persendirian mungkin tiada sentuhan, tetapi bola sepak memang tidak boleh dielak dari bersentuhan.

“Lagipun hampir setiap negeri sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kita tidak benarkan ada pertandingan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.



Pusingan pertama saingan Piala Malaysia 2020 dijadual berlangsung dari 6 hingga 8 Nov, diikuti suku akhir (12 dan 13 Nov), separuh akhir (17 Nov) dan final pada 22 Nov.

Juara Piala Malaysia 2020 akan mendapat slot beraksi pada Piala AFC 2021.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan PKPB akan dilaksanakan di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuatkuasa selama empat minggu bermula hari ini hingga 6 Dis depan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker