Piala Malaysia: Selangor, UiTM FC lengkapkan slot suku akhir

4b4cd2c514d7d7701dc5fe893d99a1f45fa80fc049479

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Pasukan paling cemerlang dalam saingan Piala Malaysia, Selangor melangkah ke suku akhir kejohanan itu selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Melaka United di Stadium Hang Jebat malam ini.

Juara rekod 33 kali itu membuka jaringan menerusi penyerang import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun yang meledak masuk hantaran lintang Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-22.

Skuad Gergasi Merah kemudian menggandakan jaringan menerusi pemain import dari Brazil, Sandro Da Silva pada minit ke-52 namun Melaka menunjukkan kebangkitan menerusi Uche Agba empat minit kemudian.



Walaupun serangan bertali arus dilakukan kedua-dua pasukan, kedudukan kekal sehingga wisel penamat untuk membawa Selangor ke suku akhir selepas disingkirkan pada peringkat separuh akhir oleh juara Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sementara itu, UiTM FC pula menyingkirkan juara dua kali, Kelantan menerusi kemenangan 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung untuk mara ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah.

Skuad kendalian Frank Bernhardt itu berjaya mendahului dengan selesa pada awal perlawanan menerusi tandukan Muhamad Arif Mohamed Anwar pada minit ke-13 dan jaringan Muhamad Rafie Mat Yaacob dua minit kemudian hasil hantaran lintang cantik Gustavo Almeida Dos Santos.

Bersambung babak kedua, skuad ‘The Red Warriors’ yang memperkemas jentera serangan, berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan Muhammad Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-61 dan 63.



UiTM FC yang sekadar menjadi pelengkap dalam saingan peringkat kumpulan bagi edisi 2017 dan 2019, bagaimanapun mengesahkan slot ke peringkat lapan terakhir apabila Muhammad Arif menjaringkan gol cantik menerusi sepakan gunting di depan gawang untuk menewaskan penjaga gol Kelantan Nik Akif Shahiran Nik Mat pada minit ke-67.

Pada pusingan suku akhir, Selangor akan bertemu Kedah yang mengatasi Pahang dengan keputusan 3-2 manakala UiTM FC akan berhadapan juara Liga Premier, Pulau Pinang yang menyingkirkan Felda United 3-1.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) belum membuat keputusan mengenai nasib saingan piala tertua di Asia itu selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan bermula Isnin ini hingga 6 Dis depan.

MFL pada awalnya menjadualkan pusingan pertama dari 6 hingga 8 Nov diikuti suku akhir pada 12 hingga 13 Nov, separuh akhir pada 17 Nov dan final pada 22 Nov.



FELDA Adalah “Lubuk Harta Karun” Yang Menjadi Rebutan Penyamun Politik

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button