Hubungan dua hala Malaysia-Singapura tidak terjejas susulan ketiadaan Pesuruhjaya Tinggi – Hishammuddin

85e42b53dc7ec68b1c73ed33587c33e65faa7187b8e75Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR, 10 Nov — Hubungan dua hala Malaysia-Singapura berjalan lancar dan tidak terjejas dengan ketiadaan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke republik itu.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia masih dalam proses melantik Pesuruhjaya Tinggi baharu ke Singapura susulan persaraan Datuk Zainol Rahim Zainuddin pada April.

“Proses pelantikan Pesuruhjaya Tinggi atau Duta Besar membabitkan banyak saringan bukan hanya di pihak Malaysia malah di pihak negara tuan rumah.

“Jadi proses ini yang membabitkan Singapura masih berlangsung. Paling penting dengan atau tanpa kehadiran Pesuruhjaya Tinggi, tugas kita berjaya disempurnakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan sidang kemuncak ASEAN ke-37 di sini hari ini.

“Seperti yang anda boleh lihat, pembangunan laluan hijau kita serta pergerakan orang ramai antara Malaysia and Singapura adalah tidak terjejas sama ada kita mempunyai Pesuruhjaya Tinggi atau tidak. Jadi, ia bukan satu isu,” katanya.

Beliau berkata pergerakan rakyat merentas Tambak Johor, pembukaan sempadan dan langkah meneliti gelembung perjalanan bagi sektor pelancongan telah berjalan dengan atau tanpa kehadiran Pesuruhjaya Tinggi.

Hubungan dua hala Malaysia-Singapura tidak terjejas susulan ketiadaan Pesuruhjaya Tinggi – Hishammuddin

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *