Pasukan pengaman Rusia dikerah ke Nagorno-Karabakh

YEREVAN: Russia mula mengerah 2,000 anggota pasukan pengaman ke Nagorno-Karabakh semalam, selepas Armenia dan Azerbaijan bersetuju untuk berdamai bagi menamatkan pertempuran selama beberapa minggu berhubung pertikaian wilayah itu.

Perjanjian oleh Moscow itu dibuat selepas beberapa kejayaan Azerbaijan dalam pertempuran untuk merampas kawasan yang didiami etnik Armenia.

Ia mencetuskan sambutan di Azerbaijan dan kemarahan di Armenia, dengan penunjuk perasaan berarak di jalan raya menyelar pemimpin mereka atas kehilangan wilayah itu, yang terlepas dari kawalan Azerbaijan ketika perang pada awal 1990-an.

Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan; Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev dan Presiden Russia, Vladimir Putin mengumumkan perjanjian itu semalam.



Pashinyan menyifatkan perjanjian itu sebagai ‘amat menyakitkan untuknya dan rakyatnya’, manakala Aliyev mengumpamakannya sebagai ‘penyerahan’ oleh Armenia.

Kandungan perjanjian itu dilihat lebih berpihak kepada Azerbaijan.

Pasukan tenteranya akan kekal mengawal kawasan yang dirampas dalam pertempuran itu, termasuk bandar Shusha, manakala Armenia bersetuju dengan tempoh masa ditetapkan untuk berundur dari sebahagian besar Nagorno-Karabakh.

Pasukan pengaman Russia terdiri daripada 1,960 anggota tentera dan pegawai serta 90 kenderaan berperisai akan dikerahkan ke wilayah itu sebagai pasukan pengaman untuk tempoh lima tahun, yang boleh dilanjutkan.



Aliyev berkata, Turki akan turut terbabit dalam usaha damai itu.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, berkata Ankara dan Moscow akan bersama-sama memantau gencatan senjata di ‘pusat kawalan bersama yang akan ditetapkan Azerbaijan di kawasan yang diselamatkan dari pendudukan Armenia.’ – AFP

 

Konflik Nagorno-Karabakh, Azerbaijan bebaskan 13 lagi kampung

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker