COVID-19: 996 pulih, 919 kes baharu, satu kematian dilapor hari ini

a3633e6bff50ec35890245b53ec256b95fad16e8cdc81
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (Gambar fai

PUTRAJAYA, 12 Nov — Sejumlah 996 pesakit sembuh daripada wabak COVID-19 iaitu lebih tinggi berbanding 919 kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 32,069 kes, manakala bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan mencatat 11,419 kes.

Menurut beliau, daripada 919 kes baharu hari ini, 916 merupakan kes penularan dalam negara, sementara bakinya kes import.

Bagi penularan tempatan, Sabah terus mencatat kes baharu tertinggi dengan 318 kes, diikuti Negeri Sembilan (240), Selangor (174), Pulau Pinang (63) dan Kuala Lumpur (47).

“Lain-lain negeri pula melibatkan Labuan sebanyak 35 kes, Perak (sembilan) Sarawak, Johor dan Melaka masing-masing lapan, Kedah (tiga), Kelantan (dua) dan Putrajaya (satu),” katanya pada sidang media harian COVID-19 hari ini.

Mengenai tiga kes import, Dr Noor Hisham berkata kes tersebut melibatkan dua warganegara dan seorang bukan warganegara, yang tiba dari Indonesia, Nigeria dan Arab Saudi.

Menurut beliau terdapat satu kematian baharu akibat wabak itu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut sebanyak 303 kes.

Kes kematian itu melibatkan lelaki bukan warganegara berumur 66 tahun, yang mendapat rawatan di Hospital Tawau, Sabah.

Katanya, sehingga kini, terdapat 92 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 35 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata satu kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu kluster Teluk di daerah Kota Kinabalu, Sabah dengan tiga kes indeks bagi kluster tersebut dikenal pasti positif, hasil saringan di tempat kerja pada 9 dan 10 Nov.

Katanya, hasil saringan kontak rapat mengesan sebanyak 27 lagi kes positif COVID-19, dengan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Bangunan Kompleks Sukan Likas.

Sementara itu, beliau berkata tiga kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu kluster Pulau di Sabah, kluster Bah Rose di Pulau Pinang dan kluster Bah Ketil di Kedah.

Dalam pada itu bersempena Hari Diabetes Sedunia dan perayaan Hari Deepavali yang disambut Sabtu ini, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai supaya makan secara berhemah, mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dan juga menjalani saringan kesihatan.

“Sehingga kini, terdapat 3.8 juta orang dewasa menghidap diabetes di Malaysia dan jururawat memainkan peranan sangat penting dalam aktiviti pencegahan, saringan, rawatan serta pemulihan pesakit diabetes.

“Bagi menghargai mereka, tema Hari Diabetes tahun ini ialah ‘Diabetes: Jururawat Nadi Perubahan’ dan sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada jururawat dan barisan hadapan, bangunan dan persekitaran di Putrajaya akan dilimpahi dengan cahaya biru bermula 7 malam ini sehingga 15 Nov,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker