SPRM tahan tiga lelaki kes rasuah RM85,000

 

SUNGAI PETANI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan tiga lelaki termasuk pengurus syarikat bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM85,000, dua tahun lalu.

Ketiga-tiga suspek iaitu pengurus syarikat berusia 52 tahun, pemilik kedai runcit berusia 45 tahun dan seorang lagi tidak bekerja berusia 62 tahun ditahan di SPRM Cawangan Sungai Petani di sini mulai pukul 9.38 malam semalam.

Mereka kemudian dibawa ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani di sini hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Penolong Pendaftar Mahkamah di sini, Mohammad Alif Abdul Aziz membenarkan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Menurut sumber, tiga lelaki terbabit didakwa terlibat dalam kes meminta dan menerima wang sebanyak RM85,000 daripada seorang individu pada tahun 2018.

Perbuatan itu dikatakan bagi membantu menyelesaikan kes abang ipar individu terbabit yang ditahan pada Jun 2018 atas kesalahan dadah.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan penahanan tiga lelaki tersebut.

“Siasatan ke atas mereka dilakukan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya. – K! ONLINE

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker