25 ahli geng ‘TCB 21’ ditahan semula – Bukit Aman

4526a28e39ce188675e0bd0c20bdf7c35f91154dae16c

KUALA LUMPUR, 13 Nov — Polis menahan semula 25 ahli geng ‘TCB 21’ disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah serius sekitar Banting dan Dengkil, Selangor mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 semalam, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata dalam operasi pada 13 dan 14 Okt lepas, 29 anggota kumpulan jenayah terancang itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan serta Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan, kerana dipercayai terlibat dengan kes tembak ahli perniagaan dan pengawal peribadinya di Banting, pada 25 Sept.

“Siasatan ketika itu turut dilakukan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang membenarkan mereka ditahan selama 28 hari, dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara, namun keterangan yang ada tidak mencukupi untuk mendakwa mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya penahanan semula itu dilakukan bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam dapat dikekalkan dan aktiviti kumpulan itu dapat dibanteras sepenuhnya.

“Siasatan mendapati geng TCB 21 adalah pertubuhan kongsi gelap haram yang aktif melakukan jenayah serius seperti cubaan bunuh menggunakan senjata api, merompak, melakukan khianat dengan api, pemerasan dan lain-lain,” katanya.

Pada 25 Sept lepas, Bernama melaporkan seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya cedera akibat ditembak dua suspek menaiki sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, dan insiden berkenan turut mengakibatkan tiga pelajar sekolah menengah cedera akibat dirempuh kereta jenis BMW yang dinaiki mangsa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker