KDNK Malaysia susut lebih kecil iaitu 2.7 peratus pada suku ketiga 2020 – Jabatan Perangkaan

3eadbfde68c1cb6673b6df46147e5b725f51011e0ddd3

KUALA LUMPUR, 13 Nov — Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyusut lebih perlahan sebanyak 2.7 peratus pada suku ketiga 2020 berbanding penyusutan ketara 17.1 peratus pada suku kedua 2020, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi ekonomi bagi suku ketiga 2020 didorong oleh pemulihan dalam prestasi sektor pembuatan, manakala sektor lain menunjukkan pertumbuhan negatif yang lebih baik berbanding suku tahun sebelumnya.

“Keseluruhan prestasi ekonomi pada suku ketiga didorong terutamanya oleh sektor pembuatan yang bertumbuh 3.3 peratus berbanding penurunan 18.3 peratus pada suku tahun sebelumnya, disokong oleh produk elektrik, elektronik dan optikal serta minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan dan prosesan makanan.



“Prestasi memberangsangkan disumbangkan oleh industri berorientasikan eksport yang menokok 5.0 peratus daripada -13.5 peratus pada suku kedua 2020 dan ini dicerminkan oleh prestasi eksport keseluruhan pada September 2020 yang merekodkan pertumbuhan positif dua digit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Jabatan Perangkaan, pemulihan berterusan dalam ekonomi negara dapat dilihat pada suku ketiga 2020 di tengah-tengah cabaran bagi membendung penularan pandemik COVID-19 melalui pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 10 Jun 2020 setelah pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sekatan perjalanan merentas negeri.

Katanya, berikutan hampir keseluruhan sektor ekonomi kembali beroperasi, kadar pengangguran menyusut 4.7 peratus pada suku tahun ini berbanding 5.1 peratus pada suku kedua 2020.

Prestasi ekonomi semasa pandemik COVID-19 juga diukur secara bulanan yang mana KDNK pada Julai mencatatkan penurunan sederhana 2.7 peratus, Ogos menyusut kepada negatif 3.6 peratus, manakala September bertambah baik kepada negatif lebih kecil 1.6 peratus, katanya.



Bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, KDNK melonjak 18.2 peratus berbanding -16.5 peratus pada suku kedua tahun ini.

Mengikut sektor, sektor pertanian menyusut perlahan 0.7 peratus disebabkan kemerosotan pada subsektor perikanan dan getah, namun, pertumbuhan subsektor kelapa sawit dan ternakan telah mengecilkan kesan kejatuhan sektor ini.

Mohd Uzir berkata sektor perkhidmatan mencatatkan negatif lebih kecil 4.0 peratus iaitu lebih baik daripada -16.2 peratus pada suku kedua 2020, disumbangkan oleh prestasi yang lebih baik bagi subsektor kewangan dan insurans serta maklumat dan komunikasi.

Beliau turut menegaskan bahawa tempoh luar biasa disebabkan pandemik ini telah mempengaruhi kecekapan kapasiti pengeluaran yang mana beberapa industri terpaksa menanggung perbelanjaan ke atas input tetap, namun pada masa yang sama mengalami kejatuhan atau penurunan lebih rendah dalam output.



“Situasi ini menyebabkan peningkatan nisbah input-output atau mempengaruhi kecekapan pengeluaran, seterusnya mengurangkan nilai ditambah. Ini adalah signifikan seperti dialami oleh subsektor penginapan, restoran, perdagangan runcit dan rekreasi dan sukan,” kata Mohd Uzir.

Subsektor perdagangan borong dan runcit merekodkan kemerosotan yang lebih kecil iaitu 2.5 peratus disumbangkan oleh prestasi kenderaan bermotor yang mula menunjukkan pemulihan dengan pertumbuhan positif semasa suku tahun ini, seiring dengan pengecualian cukai jualan bagi kereta tempatan dan cukai yang rendah bagi kereta import.

Menurut Jabatan Perangkaan, sektor pembinaan merosot 12.4 peratus disebabkan penurunan dalam semua segmen kecuali aktiviti pembinaan pertukangan khas berikutan masa operasi di tapak pembinaan yang kembali normal semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Antara negeri yang mencatatkan prestasi lebih baik pada suku ketiga 2020 adalah Sarawak, Pulau Pinang dan Terengganu.



Bagi segmen permintaan, perbelanjaan penggunaan akhir swasta merosot perlahan 2.1 peratus daripada -18.5 peratus disumbangkan oleh perbelanjaan ke atas keperluan asas seperti makanan dan minuman bukan alkohol, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain dan komunikasi.

Perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan berkembang 6.9 peratus daripada 2.3 peratus pada suku tahun sebelumnya disebabkan oleh perbelanjaan yang tinggi ke atas bekalan dan perkhidmatan.

Pada suku ketiga 2020, eksport barangan dan perkhidmatan merosot pada kadar yang perlahan 4.7 peratus daripada -21.7 peratus, disokong oleh pemulihan dalam barangan.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button