Lelaki mati dibunuh ketika minta hutang daripada rakan

f5da4749b7fbe91f59b83d91d32de2105e18252de782bKes Bunuh

LUMUT, 13 Nov — Seorang peniaga buah-buahan maut ditikam rakan sendiri dipercayai ketika menuntut hutangnya, dalam kejadian di sebuah bengkel kereta di Jalan Kampung Selamat, Sitiawan dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa berumur 42 tahun dikatakan datang ke bengkel milik suspek berusia 51 tahun dan memukulnya.

“Mangsa kemudian mengambil sebilah pisau di dalam bengkel sebelum berlaku pergelutan dengan suspek. Suspek berjaya merampas pisau itu dan menikam mangsa di bahagian leher dan perut sehingga menyebabkan rakannya mati di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.



Nor Omar berkata selepas kejadian itu, suspek hadir sendiri ke Balai Polis Sitiawan kira-kira pukul 1.20 tengah hari dalam keadaan berlumuran darah, dan memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Katanya ketika kejadian adik lelaki suspek berusia 40-an dan anak lelaki mangsa berumur 15 tahun turut berada di bengkel itu.

“Setakat ini, tiga saksi sudah diambil keterangan termasuk suspek dan adik lelakinya yang ditahan untuk membantu siasatan, manakala anak lelaki mangsa juga telah diambil keterangan namun tidak ditahan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker