COVID-19: Empat kluster baharu dikesan di Sabah, Pulau Pinang dan Kedah – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 14 Nov — Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesan empat kluster baharu COVID-19 melibatkan negeri Sabah, Pulau Pinang dan Kedah, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata di Sabah, Kluster Istimewa di Sandakan mengesan 16 kes positif COVID-19 termasuk 10 kes baharu hari ini dengan kes indeks (ke-22,026) dikenal pasti hasil saringan kemasukan ke wad pada 20 Okt.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 15 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes ini telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Kompleks Sukan Sibuga, Sandakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Kluster kedua di Sabah iaitu Kluster Alila dikesan di Kota Kinabalu membabitkan kes indeks (ke-23,498) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 Okt lepas.



Beliau berkata saringan kontak rapat telah mengesan 22 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes itu telah dimasukkan ke PKRC Hospital Queen Elizabeth.

Kluster ketiga pula iaitu Kluster Assumption melibatkan daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang serta daerah Kulim di Kedah dengan kes indeks (ke-42,773) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kendiri pada 11 Nov lalu.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak sembilan lagi kes positif COVID-19 dan kesemua mereka telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Rajawali pula telah dikesan di daerah Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang melibatkan kes indeks (kes ke-39,181) yang dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kendiri pada 6 Nov dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.



Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan dua kluster iaitu Kluster Bah Lunas di daerah Baling dan Kulim, Kedah dan Bah Bemban melibatkan daerah Dungun, Terengganu dan Kota Kinabalu diisytihar tamat hari ini.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker