Ahli Parlimen digesa ketepikan perbezaan, capai kata sepakat lulus Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR, 15 Nov — Para pemerhati menggesa Ahli Parlimen untuk mengetepikan perbezaan mereka dan mencapai kata sepakat untuk meluluskan cadangan Belanjawan 2021 pada sesi pengundian di Parlimen, yang dijangka pada 25 Nov.

Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Lau Zheng Zhou berkata adalah normal bagi Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan dan untuk perubahan dapat dilihat dalam dokumen belanjawan akhir.

Bagaimanapun, beliau menegaskan jika belanjawan tidak diluluskan, ia akan memberi kesan yang besar kepada kestabilan politik negara dan keberkesanannya dalam menangani krisis pandemik COVID-19.



“Oleh itu, kerajaan dan pembangkang perlu berusaha menunjukkan kepimpinan dengan mencapai kata sepakat dan memberikan belanjawan yang benar-benar dapat membantu rakyat Malaysia pulih dengan lebih baik,” katanya kepada Bernama.

Belanjawan 2021 kini sedang dibahaskan di Dewan Rakyat, dan beberapa Ahli Parlimen telah menyatakan tidak akan menyokongnya melainkan pindaan dibuat, seperti pelaburan yang besar dibuat dalam Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Secara keseluruhannya, kumpulan pemikir itu yakin bahawa langkah-langkah utama yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 adalah seimbang dari segi liputannya kepada kumpulan penduduk mudah terjejas, aktiviti ekonomi dan perniagaan.

Lau berkata Belanjawan 2021 bertujuan untuk mengekalkan keseimbangan antara menangani kehilangan pekerjaan dan pendapatan dalam masa terdekat dan meletakkan asas kepada pemulihan dalam jangka sederhana dan jangka panjang.



Beliau berkata belanjawan adalah lanjutan daripada empat pakej rangsangan ekonomi, memandangkan negara memasuki tahap memperkasakan dalam proses pemulihan ekonomi.

Bagaimanapun, Lau berkata Belanjawan 2021 gagal memberikan hala tuju yang kuat dan jelas mengenai bagaimana negara dapat membuat persediaan untuk pemulihan ekonomi.

“Terdapat petunjuk dalam ucapan Belanjawan 2021 yang mencadangkan bagaimana kita dapat menyusun semula model ekonomi kita, seperti memberi tumpuan kepada membawa masuk pelaburan langsung asing dalam sektor teknologi tinggi dan meningkatkan pelaburan mampan.

“Namun, ia kekurangan imaginasi, berdasarkan skala gangguan twin health dan kejutan ekonomi yang kita hadapi sebagai sebuah negara,” katanya.



Lau berkata pelan keselamatan sosial yang baharu diperlukan untuk pekerja bukan formal, terutamanya mereka yang daripada ekonomi gig.

“Mereka bukan sebenarnya pekerja, dan mereka tidak mempunyai akses kepada manfaat perubatan syarikat atau insurans kesihatan.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan program bantuan kewangan berasingan untuk kumpulan paling mudah terjejas, seperti, di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya.

Lau berkata terdapat pelbagai program bantuan kewangan, tetapi kumpulan yang paling mudah terjejas perlu mempunyai program berasingan untuk menangani situasi unik mereka.



Ketua Ekonomi Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) Suhaimi Ilias berkata Belanjawan 2021 sejajar dengan jangkaan bank pelaburan itu mengenai belanjawan pengembangan, berdasarkan jumlah peruntukan perbelanjaan sebanyak RM322.5 bilion, berbanding RM317.5 bilion pada 2019.

Sehubungan itu, defisit belanjawan akan tetap besar pada 2021 sebanyak RM84.8 bilion, tidak banyak berubah daripada anggaran defisit sebanyak RM86.5 bilion pada 2020, katanya kepada Bernama.

“Justeru, momentum rangsangan fiskal adalah kekal. Seperti biasa, yang menjadi kebimbangan ialah sama ada belanjawan itu mencukupi.

“Bagi memberi ruang kepada langkah-langkah tambahan dalam masa terdekat untuk menangani impak COVID-19 jika perlu, Belanjawan 2021 turut mencadangkan had Dana COVID-19 dinaikkan sebanyak RM20 bilion kepada RM65 bilion daripada RM45 bilion,” katanya.



Suhaimi berkata pendapatan dijangka meningkat 4.2 peratus kepada RM236.9 bilion pada 2021, dan kerajaan perlu membiayai kekurangan untuk belanjawan sebanyak RM322.5 bilion melalui pinjaman.

Beliau berkata terdapat mudah tunai domestik yang mencukupi – dan murah, sebahagiannya berikutan langkah-langkah oleh Bank Negara Malaysia untuk mengurangkan kadar faedah dan menyuntik mudah tunai dalam ekonomi, seperti pengurangan Keperluan Rizab Berkanun dan pembelian sekuriti kerajaan dalam pasaran bon.

“Saya difahamkan bahawa pengundian mengenai Belanjawan 2021 adalah pada 25 Nov, jadi, kita akan lihat nanti. Diharapkan ahli-ahli politik akan memberi keutamaan kepada rakyat dan negara berbanding politik,” katanya.

Sementara itu, Parlimen telah meluluskan kenaikan had statutori ke atas hutang domestik kerajaan kepada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 55 peratus pada masa ini, memberi ruang kepada pinjaman yang lebih tinggi.



“Semasa Krisis Kewangan Global, had statutori ke atas hutang domestik kerajaan dinaikkan sebanyak dua kali, daripada 40 peratus daripada KDNK kepada 45 peratus pada Jun 2008, dan kemudian kepada 55 peratus daripada KDNK pada Julai 2009.

“Sama ada terdapat keperluan untuk menaikkan lagi daripada paras siling semasa sebanyak 60 peratus daripada KDNK bergantung kepada prestasi ekonomi dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya, sambil menambah prospek pertumbuhan ekonomi pada tahun depan bergantung kepada perkembangan mengenai pandemik COVID-19, dasar dan politik.

Beliau berkata pandangan ahli ekonomi, termasuk agensi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa, ialah ekonomi akan pulih pada 2021, dan kerajaan memberi tumpuan kepada bahagian dasar dengan belanjawan, selain dasar monetari yang akomodatif untuk menyokong pemulihan ekonomi.

“Kinetik pandemik — dari segi sama ada kita akan dapat menangani peningkatan kes pada masa ini dan secepat mana kita akan mendapat vaksin yang selamat dan berkesan — adalah penting. Pokok pangkalnya adalah politik,” katanya.

Najib balas balik ‘posting’ Fadli Shaari

Najib balas balik ‘posting’ Fadli Shaari

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button