Man United lonjak ke tangga ketiga liga

NOTTINGHAM: Manchester United menewaskan Nottingham Forest 2-0 untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Skuad kendalian Erik ten Hag memanfaatkan kekalahan pesaing terdekat, Newcastle dan Tottenham untuk memanjat ke tangga ketiga liga, hasil jaringan Antony dan Diogo Dalot.

Kedua-dua pasukan sudah bertembung tiga kali musim ini, termasuk dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala Liga – dengan kemenangan berpihak kepada United dalam setiap perlawanan.

Kecederaan gandingan bek tengah, Raphael Varane dan Lisandro Martinez menyaksikan benteng United dikemudi Harry Maguire dan Victor Lindelof, manakala Dalot menggantikan Tyrell Malacia.



Pasukan pelawat, yang turun tanpa penjaring terbanyaknya, Marcus Rashford, terpaksa melakukan pertukaran di saat akhir apabila Marcel Sabitzer cedera ketika memanaskan badan dan digantikan dengan Christian Eriksen, yang tampil buat pertama kali sejak Januari selepas kecederaan buku lali.

Forest, yang belum menang dalam sembilan perlawanan terakhir mereka, melakukan empat pertukaran.

United mendahului permainan pada minit ke-32 menerusi Antony yang membuat tindakan susulan selepas Keylor Navas menampan percubaan Anthony Martial.

Jaringan kedua United hadir pada minit ke-76 apabila Dalot meluru ke dalam kotak penalti untuk menerima hantaran Antony bagi menyempurnakan gol Liga Perdana Inggeris pertamanya.



Kemenangan itu meletakkan United tiga mata di depan Newcastle yang berada di tangga keempat selepas 30 perlawanan, dan enam mengatasi Tottenham di tangga kelima.

“Kemenangan padu. Kami amat fokus dari awal hingga tamat permainan. Minggu lalu saya mempunyai sembilan pertahanan yang cergas, sekarang hanya empat.

“Kami memerlukan kesemua pemain – kami masih bersaing dalam tiga pertandingan. Kami memerlukan semua pemain untuk membentuk pasukan terbaik,” kata Ten Hag.

Red Devils sudah mengatasi kutipan mata Liga Perdana Inggeris musim lalu walaupun saingan masih berbaki lapan perlawanan.

Minggu ini tumpuan United akan terarah kepada saingan Liga Europa dan Piala FA.

Forest kekal dalam zon penyingkiran dan berisiko kembali ke Liga Kejuaraan selepas hanya semusim di liga tertinggi Inggeris itu.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker