MP Bintulu minta maaf ‘bagi pastikan sidang Dewan Rakyat lancar’

Anggota Parlimen Bintulu Tiong King Sing memohon maaf berhubung kenyataan kontroversinya pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, minggu lepas.

Jelasnya, permohonan maaf itu dibuat bagi memastikan “perjalanan sidang Dewan Rakyat lancar”.

“Bagi memastikan perjalanan sidang Dewan Rakyat yang lancar dan demi kepentingan serta keharmonian negara, saya membuat permohonan maaf sekiranya ada keterlanjuran kata saya ketika perbahasan Belanjawan 2021.

“Langsung tidak terdetik untuk saya menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, frontliners termasuk ketua pengarah kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Tiong pada 11 Nov lalu menimbulkan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah “takut mati” kerana tidak hadir sendiri ke Sabah untuk melakukan pengawasan wabak Covid-19 di negeri itu.

“DG (Dr Noor Hisham) takut mati sebab dia tak turun di Sabah, tak lockdown awal-awal di penjara,” katanya.

Susulan itu Dewan Rakyat bertukar kecoh seketika setelah berlaku pertikaman lidah di antara Tiong dan Anggota Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Rayer yang membantah kenyataan itu kemudiannya diusir dari dewan oleh Timbalan Speaker Azalina Otman Said.

Pada persidangan keesokan harinya, kekecohan di Dewan Rakyat bersambung apabila Anggota Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Speaker Azhar Harun untuk melihat kembali ruling (keputusan) yang dibuat Azalina berhubung kenyataan Tiong yang didakwa menghina Noor Hisham.

Azhar bagaimanapun menegaskan keputusan itu muktamad sekali gus dibidas Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang menyifatkan keputusan yang dibuat oleh Azalina sebagai “bodoh”.

Azhar kemudiannya berang dan meminta Lip Eng keluar dari Dewan Rakyat serta menggantungnya selama lima hari.

Sementara itu Tiong berkata, dia hanya berniat untuk membahas soal Covid-19 yang membimbangkan rakyat supaya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Saya tidak mahu kerana saya, seluruh urusan Dewan Rakyat yang mulia ini terganggu,” katanya.- MKini

Kenyataan ‘DG takut mati’, Cuepacs mahu Ahli Parlimen Bintulu mohon maaf

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker