Tujuh ditahan bantu siasatan pencemaran loji air

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sungai Petani: Polis menahan tujuh individu termasuk seorang kontraktor sebuah syarikat pembentungan bagi membantu siasatan pencemaran air di loji rawatan air Jeniang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mereka yang berusia 27 hingga 38 tahun itu ditahan di lokasi kejadian sejurus laporan diterima.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan dari penguasa Loji Rawatan Aur Jeniang pada jam 4 petang semalam berhubung pencemaran air di Sungai Muda dipercayai berpunca akibat tumpahan minyak diesel.

“Susulan aduan itu, pengadu bersama pasukan melawat kawasan berkenaan untuk melakukan tinjauan dan mendapati ada kesan pencemaran minyak berhampiran loji rawatan terbabit.

“Pengadu bersama pasukan kemudian mengambil beberapa sampel air di loji berkenaan untuk di serahkan kepada pihak Lembaga Sumber Air Negeri Kedah bagi tujuan analisis dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, kejadian pencemaran berlaku dipercayai berpunca dari tapak projek memasang jaking paip yang berjarak lebih kurang 100 meter dari loji berkenaan.

Katanya, kerja pemasangan jaking paip dilakukan syarikat terbabit sejak 1 Oktober untuk tempoh dua bulan.

“Projek terbabit ditender dari pihak JKR dan kerja pemasangan jaking paip dilakukan oleh majikan iaitu suspek bersama enam pekerja termasuk empat warga Indonesia.

“Di tapak projek itu terdapat tiga tong berisi diesel untuk kegunaan mesin excavator dan generator,” katanya.

Adzli berkata, siasatan mendapati ada kesan diesel di tanah bawah tong dan dipercayai mengalir ke tali air yang menyambung ke Sungai Muda.

Katanya, siasatan mendapati tiada hadangan atau benteng pasir dibuat oleh pihak kontraktor.

“Sisa dan tumpahan minyak boleh masuk secara langsung ke saliran.

“Pencemaran itu mengakibatkan pihak Perbadanan Lembaga Air Kedah terpaksa menghentikan penyaluran air bagi tujuan peneutral bagi kawasan Gurun dan Sik membabitkan 34,000 akaun pengguna,” katanya.

Adzli berkata, keadaan dijangka pulih sepenuhnya pada 15 November selepas dibuka secara berperingkat mulai petang semalam.

Beliau berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil tujuh sampel iaitu lima sampel air, satu sampel tanah dan satu sampel diesel dari tong di tempat kejadian untuk siasatan.

“Siasatan di tempat kejadian juga turut dibantu oleh pihak JAS, Jabatan Parit dan Saliran, Jabatan Bomba dan pihak Perbadanan Lembaga Air Kedah.

“Pihak Forensik IPK Kedah turut mengambil lapan swab dari excavator dan generator untuk ujian asid deoksiribunokleik (DNA),” katanya.

Adzli berkata, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) juga membuka siasatan mengikut Enakmen Sumber Air Kedah 2008 mengikut kesalahan Kawalan Pencemaran Seksyen 29 (2) dengan penalti di bawah Seksyen 88 Kesalahan Am.

JAS pula akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 25 Pencemaran Air mengikut Akta Alam Sekeliling 1974.

“Suspek direman enam hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

Leave a Reply