Pelajar Tingkatan Tiga maut kemalangan

Sabak Bernam: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki sekumpulan lima penuntut Politeknik Sungai Idris Shah (PSIS) di Jalan Parit Baru, Sungai Tengar, di sini, malam tadi.

Dalam nahas 9.50 malam itu, mangsa berusia 15 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kemalangan membabitkan motosikal Yamaha Y100 ditunggang pelajar terbabit dengan Perodua Alza.

“Siasatan awal mendapati mangsa dari Bagan Nakhoda Omar (BNO) ke Sabak, manakala Perodua Alza dinaiki lima penuntut PSIS pula dari Sabak ke BNO.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan Perodua Alza dan melanggar bahagian kiri hadapan MPV terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, pelajar lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu MPV berusia 21 tahun dan penumpangnya berusia 19 tahun dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk mendapatkan rawatan awal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker