Isu kemiskinan digital perlu diberi keutamaan – Salleh

2ab5acf51a5452d0cb51820414e127b95f5c587d2c6d7
Datuk Seri Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU, 16 Nov — Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mahu kerajaan Sabah mencari penyelesaian terbaik kepada isu kemiskinan digital, dari segi penyediaan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), mahupun kelemahan kemahiran bidang itu dalam kalangan masyarakat di Sabah.

Beliau berkata kemiskinan digital tidak semestinya berkaitan dengan soal kedudukan ekonomi sahaja, kerana seseorang itu mungkin sudah mempunyai kelengkapan ICT seperti komputer, telefon pintar dan sambungan internet yang pantas, namun dia masih dianggap Miskin Digital jika tidak mahir menggunakannya.

“Ini kerana seseorang itu masih belum mahir menggunakan ICT sebaiknya untuk urusan utama harian yang kini semuanya beroperasi melalui dalam talian seperti bekerja, berniaga dan berurusan,” katanya ketika mencadangkan usul ucapan terima kepada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Menurut beliau perkara itu disebabkan masyarakat terlalu biasa dengan komunikasi bersemuka dan masih belum dapat mempraktikkan konsep ‘Bekerja Dari Rumah’ dan ‘Urus Niaga Dalam Talian’.



Beliau berpendapat isu itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana akan memberi kesan ekonomi sebenar dan mengakibatkan Sabah ketinggalan lebih jauh daripada arus pembangunan.

Sehubungan itu, Salleh berharap kerajaan negeri dapat merancang kaedah sewajarnya atau menyampaikan insentif bersesuaian untuk menangani isu Kemiskinan Digital negeri.

Sementara Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap semua cadangan yang dikemukakan demi kebaikan negeri.

“Mengenai isu kemiskinan digital yang diutarakan oleh Yang Berhormat Usukan…saya sangat bersetuju bahawa Sabah masih ketinggalan dengan kemajuan ICT dan perkara itu kita perlu berikan perhatian dan keutamaan untuk memastikan taraf kemunikasi digital di Sabah dapat ditingkatkan,” katanya.



PRN SABAH – EKSKLUSIF SALLEH KERUAK MOHON MAAF

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button