Kesihatan, keselamatan dan masa depan lebih utama – TMJ

fcc6a480c9c03d082715cae2132d13ef5f902aee4b083Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim

x

KUALA LUMPUR, 15 Nov — Keputusan kerajaan tidak membenarkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke luar negara untuk menyertai saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 Zon Timur di Doha, Qatar adalah demi kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia.

Demikian jelas pemilik JDT Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim meskipun mengakui keputusan itu termasuk pembatalan saingan Piala Malaysia 2020 susulan keputusan kerajaan menangguhkan kejohanan tertua Asia Tenggara itu satu keputusan yang berat untuk diterima.

Menurut Tunku Ismail, kes COVID-19 semakin meningkat dan situasi tersebut akan menjejaskan kelangsungan hidup jika ia berterusan.

“Sesiapa sahaja tidak terlepas dari ancaman COVID-19. Sebagai contoh pemain bintang Mesir, Mohamed Salah juga telah disahkan positif apabila tiba untuk perlawanan antarabangsa walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom.

“Ini boleh berlaku di mana-mana sahaja dan kita tidak boleh mengambil sebarang risiko,” katanya dalam kenyataan laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers.

Liga Juara-Juara AFC 2020 Zon Timur dijadual berlangsung dari 18 Nov hingga 13 Dis, dengan JDT yang merupakan juara Liga Super 2020 dijangka meneruskan kempennya dalam saingan Kumpulan G.

“Pengarah Teknikal JDT Alistair Edwards sudah menyatakan kekecewaan kelab kerana musim 2020 berakhir begitu sahaja tetapi kami akur dengan keputusan kerajaan dan memahami bahawa kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia adalah penting demi masa depan negara,” kata TMJ.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan JDT tidak dibenarkan ke luar negara susulan keputusan kerajaan yang masih kekal menutup pintu sempadan negara.

MKN turut membatalkan saingan Piala Malaysia 2020 selepas berpendapat sukan itu melibatkan sentuhan antara pemain yang boleh menyebabkan risiko jangkitan COVID-19.

JDT rugi RM35 juta kesan COVID-19 – TMJ

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker