Lapan pelacur warga asing ditahan dalam serbuan Op Noda
SERDANG, 16 Nov — Lapan pelacur warga asing ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah hotel di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini malam ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman SAC Azmi Adam berkata mereka yang ditahan terdiri daripada enam warga Thailand, seorang warga Vietnam dan seorang warga Myanmar, masing-masing berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun.
“Polis turut menahan 10 pelanggan terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun dan dua lelaki yang menjaga premis itu iaitu seorang warga tempatan dan seorang warga Myanmar.”Premis itu menjalankan aktiviti pelacuran beroperasi bermula 12 tengah hari hingga 10 malam,” katanya kepada pemberita selepas serbuan itu malam ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah.
Beliau berkata premis itu menjalankan operasi dengan mempromosikan perkhidmatan mereka menggunakan aplikasi media sosial seperti WeChat dan WhatsApp selain menerima pelanggan yang datang secara ‘walk in.’
Katanya premis itu turut disyaki menjalankan aktiviti perjudian dalam talian selepas polis menemukan lima komputer yang digunakan untuk tujuan tersebut.
Azmi berkata polis merampas barangan antaranya kondom, tisu, pelincir dan wang tunai sebanyak RM1,266 dalam serbuan yang bermula pada 7.30 malam dan berakhir pada 11 malam itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata semua yang ditahan juga dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.
— BERNAMA