Penyandang jawatan sensitif PDRM akan digilirkan lebih kerap – KPN

c513c068f4fb90728b7b6e5b276775d65facdf76adb7e

KUALA LUMPUR, 17 Nov — Penyandang jawatan sensitif dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan digilirkan dengan lebih kerap pada masa hadapan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata selain memberi peluang kepada lebih ramai pegawai dalam PDRM untuk menimba pengalaman dalam melakukan tugasan penting di dalam pasukan itu, ia juga bagi mengelak kebarangkalian kejadian salah laku dalam kalangan mereka.

“Selain itu, pertukaran pegawai yang pernah memegang jawatan sensitif juga, adalah bagi mengasingkan mana-mana pegawai yang disyaki mempunyai kaitan dengan sesuatu isu atau melakukan salah laku sebelum mereka dikenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Hamid juga berkata antara contoh kejadian yang membawa kepada pelaksanaan penggiliran penyandang jawatan sensitif ini ialah, terdapat pegawai dan anggota PDRM disyaki bersekongkol dengan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam, baru baru ini.

Katanya, pertukaran dan rombakan bagi tujuan penggiliran itu sedang dilaksanakan dan dijangka berjalan sehingga hujung tahun ini.

Semalam, Bernama melaporkan Pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara yang diambil tindakan, berikutan disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.

Turut dilaporkan ialah rombakan besar-besaran dalam pasukan polis, melibatkan lebih 20 anggota, pegawai dan pegawai kanan, pasukan keselamatan itu.

Abdul Hamid sebelum ini juga dilaporkan berkata semua pegawai dan anggota yang bakal ditempatkan di Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), akan disaring oleh Jawatankuasa Khas yang ditubuh di Bukit Aman bagi memastikan mereka yang bakal ditempatkan di bahagian ‘panas’, mempunyai integriti yang tinggi.

Disyaki terlibat Macau Scam, judi dalam talian, 20 anggota dan pegawai polis ditukar

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker