PKPD asrama Top Glove: Kira-kira 3,550 pekerja akan jalani saringan

Hebahkan !!!

dd9046725a2fcd4e666d7f5ebb34a2db5fb39ce005d77

x

SHAH ALAM, 17 Nov — Kira-kira 3,550 pekerja yang tinggal di asrama pekerja Top Glove Meru, Klang akan menjalani ujian saringan COVID-19, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang Mohd Zainal Mohd Nor berkata 200 kakitangan pelbagai agensi antaranya polis, Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Angkatan Tentera Malaysia dan Pejabat Kesihatan Daerah Klang akan bertugas sepanjang proses saringan tersebut.

“PKPD ini dibahagikan kepada dua sektor kawasan iaitu sektor A dan B dengan keluasan keseluruhan sektor terlibat adalah enam hektar (15.6 ekar),” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zainal berkata sektor A melibatkan asrama pekerja wanita Top Glove dan kawasan perumahan sekitarnya meliputi Jalan Abadi 5 dan Jalan Abadi 1a Off Jalan Teratai, Meru, Klang.

Sektor B pula melibatkan asrama pekerja lelaki Top Glove dan kawasan perumahan sekitarnya meliputi Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Sesenduk 21 Off Jalan Teratai, katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD akan mula dikuatkuasakan di asrama pekerja Top Glove, Klang bermula hari ini hingga 30 Nov.

Katanya, pelaksanaan PKPD di lokasi itu yang diputuskan pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam, melibatkan pekerja kilang berkenaan yang menghuni asrama pekerja lelaki dan wanita serta penduduk di Jalan Abadi 1A/8, Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A/KU8.

Sehingga semalam, hasil saringan COVID-19 yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan di kawasan terbabit mendapati 215 kes positif COVID-19.

— BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: