28 saman dikeluarkan kerana melawan arus BSI

Johor Bahru : Beberapa kereta dikesan memandu secara melawan arus semasa trafik padat di Jalan Storey menghala ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semasa kejadian berlaku lebih kurang jam 6.14 petang itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD JBS sedang membuat penutupan jalan dengan membuat lencongan di beberapa jalan utama yang hendak memasuki BSI.

Katanya antaranya ialah kenderaan dari arah Jalan Tebrau yang mahu ke Jalan Storey.

“Penutupan sementara di Jalan Storey dilakukan kerana jumlah kenderaan meningkat sehingga menyebabkan Jalan Tebrau mengalami kesesakan yang sangat padat.



“Kesan daripada penutupan jalan, kenderaan sedia ada yang berada di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Storey mengambil kesempatan dengan memandu secara melawan arus dan memotong barisan untuk ke BSI.

“Semalam pihak BSPTD JBS mengeluarkan 28 keping saman atas kesalahan memotong barisan,”katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya juga membuat tangkapan ke atas seorang warga tempatan atas kesalahan tidak memberikan kerjasama semasa proses saman dilakukan.

“Polis memohon orang ramai untuk menghubungi talian perkhidmatan BSPTD JBS 07-227 756 sekiranya mengesan kejadian sedemikian berlaku lagi,”katanya.



Sebelum ini, tular satu video berdurasi 58 saat berkenaan beberapa kenderaan memandu secara melawan arus dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain, kerana mahu mengelak kesesakan jalan raya di Jalan Storey menghala ke BSI.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker