T’ganu setuju jika had umur penyertaan Sukma dilanjutkan

Hebahkan !!!

4ab4bb944a0f68de8c2a9bb65d7cef045f05e6ea51086

DUNGUN, 17 Nov — Terengganu bersetuju sekiranya had umur kelayakan atlet yang menyertai Sukan Malaysia (Sukma) Johor dilanjutkan daripada 21 tahun kepada 23 tahun, berikutan temasya sukan itu ditangguh dan akan diadakan pada 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ini bagi membolehkan atlet yang sebelum ini telah disenaraikan untuk menyertai Sukma Johor, yang kini berumur 21 tahun berpeluang menyertai temasya itu dua tahun lagi.

“Kita sudah bincang dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi (Sukma) pada dua minggu lepas, dan pada asasnya kita (Terengganu) bersetuju bahawa had umur kelayakan Sukma 2020 yang akan diadakan pada 2022, kita fleksibelkan kepada 23 tahun supaya tidak timbul isu had umur 21 tahun itu,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan velodrom Azizulhasni Awang di Balai Besar, di sini hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini mengumumkan penangguhan temasya sukan itu berikutan penularan pandemik COVID-19 dan mengesahkan bahawa Johor akan menjadi tuan rumah temasya Sukma dan Para Sukma pada 2022 tanpa ada perubahan dalam jumlah sukan dan acara yang akan dipertandingkan.

Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata kerajaan negeri juga telah berbincang dengan pihak pengurusan Majlis Sukan Negeri Terengganu baru-baru ini mengenai kebajikan para atlet Sukma Johor.

“Pada perbincangan tersebut kita mengambil kira isu-isu berkaitan latihan dan kebajikan atlet Sukma dan ia akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: