COVID-19: Lapan kluster baharu dikenal pasti, tiga diisytihar tamat hari ini

1c57a40f108e04781998c9e64beec7ee5fb50446c0ac0Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 18 Nov — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lapan kluster baharu hari ini manakala tiga kluster diisytihar tamat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata tiga kluster baharu melibatkan Sabah iaitu Kluster Sabaru, Kluster Tomher dan Kluster Garden manakala yang lain ialah Kluster Putra-18 (Putrajaya, Selangor), Kluster Murni (Kuala Lumpur, Selangor), Kluster Seri Pasir (Pulau Pinang), Kluster Besi Demak (Sarawak) dan Kluster Parit Kassan (Johor, Melaka).

Dr Noor Hisham juga berkata tiga kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Kencana (yang melibatkan Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Terengganu), Kluster Bah Sintok (Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor) serta Kluster Seri Anggerik (Selangor).



Memperincikan kluster baharu, beliau berkata Kluster Sabaru melibatkan daerah Lahad Datu di Sabah dengan kes indeks dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 3 Nov lepas dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

“Saringan komuniti di kawasan setempat telah mengesan sebanyak 87 lagi kes positif COVID-19 dalam kluster ini. Kes-kes tersebut telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, Sepagaya,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Tomher pula melibatkan daerah Ranau dengan kes-kes bagi kluster itu merupakan pekerja buruh binaan yang telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kumpulan berisiko tinggi sejak 9 Nov lepas.

Beliau berkata kesemua kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, Dewan Kompleks Sukan Ranau manakala setakat ini, 20 kes dikesan positif daripada sejumlah 276 yang disaring.



Katanya Kluster Garden pula melibatkan daerah Tawau dengan kes indeks dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 7 Nov lepas manakala saringan kontak rapat mengesan 10 lagi kes positif dan kesemua mereka dimasukkan ke Hospital Tawau.

Selain itu, Kluster Putra-18 melibatkan Putrajaya serta daerah Petaling dan Sepang di Selangor dengan kes indeks dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 14 Nov lepas dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh manakala saringan kontak rapat mengesan enam lagi kes positif setakat ini.

Kluster Murni pula melibatkan daerah Cheras dan Kepong di Kuala Lumpur serta Petaling di Selangor dengan kes indeks dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Nov lepas manakala enam lagi kes positif dikesan setakat ini hasil saringan kontak rapat dan kesemua mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Seri Pasir melibatkan daerah Timur Laut di Pulau Pinang dengan 11 kes dikesan positif COVID-19 manakala 13 lagi masih menunggu keputusan.



“Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 11 Nov 2020, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 10 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata Kluster Besi Demak melibatkan daerah Kuching di Sarawak dengan kes indeks dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Nov lepas dan setakat ini, empat lagi kes dikesan positif manakala 12 individu masih menunggu keputusan daripada 237 yang disaring.

Kluster Parit Kassan pula melibatkan daerah Tangkak di Johor dan Melaka Tengah dengan kes indeks dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 13 Nov lepas dan dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor.

Katanya sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 105 individu telah disaring yang menyaksikan 11 kes dikesan positif dan 24 individu masih menunggu keputusan.



COVID-19: Empat kluster baharu dikesan di Sabah, Pulau Pinang dan Kedah – KP Kesihatan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button