Kedah mahu kejutkan JDT dalam pertemuan Piala Sumbangsih

388e2ea43632a8adf17b087f3b576d115e6ee809b1e48Ketua Jurulatih pasukan Kedah Aidil Sharin Sahak (kanan)

KUALA LUMPUR, 17 Nov — Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak berharap pasukannya dapat mengatasi juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan pembuka tirai saingan Liga Malaysia 2021 (Liga-M), merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, 26 Feb tahun depan.

Jurulatih kelahiran Singapura berusia 43 tahun itu berkata, kalendar Liga-M musim 2021 yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini sudah tentu memberi cukup peluang untuk beliau membuat persiapan rapi bagi skuad Lang Merah menghadapi musim baharu.

“Saya rasa memang menjadi impian semua pasukan untuk menewaskan JDT kerana mereka telah memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah sejak 2017, dan apabila sekali lagi Kedah akan menentang mereka, saya harap pemain kita dapat mempamerkan prestasi terbaik yang boleh mengatasi JDT,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pasukan itu.

Sebelum ini, JDT mengalahkan Kedah sebanyak dua kali dalam dua perlawanan Piala Sumbangsih — 2-1 pada 2018 dan 1-0 musim lepas, menerusi kedua-dua perlawanan yang masing-masing berlangsung di Stadium Larkin dan Stadium Sultan Ibrahim.

Sehubungan itu, Aidil Sharin berharap skuad Lang Merah dapat mengekalkan prestasi sepanjang musim 2021 dalam Liga Super.

Baru-baru ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah memutuskan untuk memberikan slot buat Kedah bermain dalam pertandingan Piala Sumbangsih.

Ini berikutan pembatalan Piala FA dan juga Piala Malaysia susulan penularan pandemik COVID-19.

Secara tradisinya, pemenang Liga Super akan bertemu dengan pemenang Piala FA dalam pertandingan Piala Sumbangsih yang merupakan pembuka tirai untuk saingan Liga-M.

MFL mengeluarkan kalendar Liga-M 2021 hari ini yang menyaksikan JDT akan bertemu Kedah dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 26 Feb, diikuti Liga Super dan Liga Premier, masing-masing bermula pada 27 dan 28 Feb.

Slot ke Piala AFC 2021 hadiah terbesar buat Skuad Penyu – Nafuzi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker