Pengurusan kes rayuan ketepi sabitan, hukuman penjara Armin Zaharin 8 Dis

da1aef967ef3c49d595a7405b42c40a25fa2875b6c6e1Armin Zaharin Ahmad Zambri

SHAH ALAM, 19 Nov — Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 8 Dis ini bagi pengurusan kes rayuan bekas suami penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana merotan tangan anak lelakinya, dua tahun lalu.

Peguam Amir Farid Mohd Nawawi, yang mewakili Armin Zaharin, berkata, rayuan itu yang sepatutnya ditetapkan hari ini untuk pengurusan kes, ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang selama empat minggu dari 9 Nov sehingga 6 Dis ini.

“Pihak kami menerima e-mel daripada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Azizah Jaafar semalam memaklumkan bahawa tarikh pengurusan kes yang baharu ditetapkan pada 8 Dis ini, juga di hadapan Nur Azizah.



“Mahkamah juga telah memberikan arahan berkenaan masa untuk perayu memfailkan petisyen rayuan,” katanya menerusi WhatsApp.

Armin Zaharin, 55, memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 28 Sept lalu.

Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Armin Zaharin bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya yang berumur 9 tahun menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam antara 8 malam dan 10.30 malam pada 24 Feb 2018.

Bekas ketua pramugara itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Sabreena bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Armin Zaharin ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana, 52, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin membuat laporan polis pada 27 Feb 2018.

Ziana dan Armin Zaharin sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.

Penyanyi yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Putus Terpaksa itu memfailkan tuntutan perceraian pada 3 April 2018 selepas Armin Zaharin enggan melafazkan cerai terhadapnya.

Pasangan sensasi itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara 11 hingga 20 tahun.

Ziana nafi hasut anak jumpa bekas suami

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker