COVID-19 persiapkan rakyat depani gaya hidup berlandaskan inovasi, teknologi
KUALA LUMPUR, 21 Nov — Penularan pandemik COVID-19 bukan sahaja menimbulkan keperluan mendesak untuk menangani norma baharu tetapi turut mempersiapkan rakyat mendepani perubahan gaya hidup masa depan berlandaskan inovasi dan teknologi.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini berkata pandemik COVID-19 juga telah mempercepatkan pembangunan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan pelaksanaan ekonomi digital.
“Ini terbukti apabila potensi 4IR yang dipacu dengan teknologi Kecerdasan Buatan, pengkomputeran awan dan Internet Pelbagai Benda (IoT) turut digunakan dalam aktiviti pengeluaran, perkhidmatan dan perniagaan.
“Penyediaan belanjawan sebanyak RM42 juta untuk menyediakan rangkaian gentian optik ke 25 kawasan perindustrian adalah langkah untuk memperkukuhkan infrastruktur digitalisasi perniagaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diperkenalkan baru-baru ini bertindak sebagai asas kepada peralihan infrastruktur digital dengan matlamat untuk menyediakan liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi pada kadar berpatutan untuk rakyat Malaysia.
“Kelancaran dan kesalinghubungan digital yang inklusif menjadi asas penting kepada usaha memacu ekonomi digital,” katanya.
Kenyataan itu berkata pada masa sama aktiviti ekonomi digital seperti e-dagang dan teknologi kewangan (FinTech) juga akan bertambah pesat.
“Perniagaan kini boleh menghubungi lebih ramai pelanggan dalam kawasan yang sebelum ini tidak pernah dicapai.
“Banyak industri tradisional dan golongan usahawan berupaya untuk mengecapi kesalinghubungan digital inklusif yang akan memberi impak kepada kelangsungan dan tahap kecekapan operasi mereka,” katanya.
Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta di bawah Belanjawan 2021 untuk memastikan kesalinghubungan digital di 430 sekolah seluruh negara.
“Proses fiberisasi ke atas sekolah-sekolah akan turut diberikan perhatian bagi memastikan proses ke arah digitalisasi adalah tersedia untuk para pelajar sekolah,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Program Jaringan PRIHATIN yang menelan belanja RM1.5 bilion akan dapat dimanfaatkan kira-kira lapan juta penduduk golongan B40 untuk mendapatkan perkhidmatan dan memperluaskan jaringan internet.
“Bagi memastikan keperluan penduduk setempat dan golongan pelajar untuk mendapatkan perkhidmatan internet, proses pemerkasaan Pusat Internet Komuniti (PIK) akan dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.
Satu daripada dua pesakit tidak tahu hidap diabetes – Dr Noor Hisham