Insiden tembakan tidak lemahkan semangat anggota jaga sempadan – Ketua Polis Kedah

dadeee89e8a8543c4641d52ebf0935575fbce929163daDatuk Hasanuddin Hassan

ALOR SETAR, 24 Nov — Insiden tembakan yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar, Perlis pagi tadi tidak akan melemahkan semangat pasukan keselamatan menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan negara, kata Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan.

Sebaliknya kata beliau kejadian itu akan menjadi pembakar semangat bagi anggota keselamatan, sama ada daripada Polis Diraja Malaysia atau agensi keselamatan lain, untuk mengukuhkan kawalan sempadan di bawah Operasi Benteng (Op Benteng).

“Op Benteng masih diteruskan seperti biasa dan insiden yang berlaku pagi tadi bukanlah insiden yang boleh melemahkan semangat kami untuk bertugas, malah kejadian membakar semangat kami untuk menjaga kawasan di bawah Op Benteng di bawah tanggungjawab masing-masing.

“Di Kedah, kawasan sempadan kita ada tembok dan kita jaga kawasan itu. Ini adalah insiden yang tidak sepatutnya berlaku di antara pihak kami PDRM dan pihak yang satu lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Ditanya jika kawalan sempadan negara khususnya melibatkan kawasan di negeri ini perlu ditingkatkan susulan kejadian tembakan itu, Hasanuddin berkata pada masa ini kawalan sempadan sudah cukup ketat dengan penglibatan pelbagai agensi keselamatan yang lain.

Bagaimanapun beliau mengingatkan anggota keselamatan yang bertugas mengawal sempadan negara agar sentiasa berwaspada memandangkan kawasan berkenaan boleh mendatangkan pelbagai ancaman.

“Kepada keluarga mendiang yang gugur sebagai seorang wira di sempadan Malaysia-Thailand pada pagi ini, saya bagi pihak polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang yang telah terkorban demi menjaga sempadan negara,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah di sini, di mana mayat mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, dibedah siasat sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Negeri Sembilan.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi tadi, Baharuddin terkorban terkena tembakan, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

20 lelaki ditahan berhubung insiden pergaduhan di PPR Jalan Ipoh

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker