Penolong jurutera mengaku tidak bersalah terima rasuah, palsu dokumen

ad09e8b86e2b2da8f6bee97726b764185e3a411dec1cf

KUANTAN, 26 Nov — Seorang Penolong Jurutera Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan rasuah dan menggunakan dokumen palsu, yang didakwa berlaku pada pertengahan tahun ini.

Syamsul Azrai Yusoff, 41, yang beralamat di Indera Mahkota di sini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu daripada kontraktor Yow Kuan Mon, sebanyak dua kali iaitu masing-masing RM1,000 pada 20 Mei dan 29 Jun lepas, yang dimasukkan ke dalam akaun simpanannya di sebuah bank di Jalan Bukit Ubi, di sini.



Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa menggunakan dokumen ‘Kelulusan Pelan Kerja-kerja Tambahan Kecil’ dan surat ‘Kelulusan Pembinaan Bangunan MPK’ yang diketahuinya palsu sebagai tulen, di sebuah rumah di Jalan Wong Ah Jang di sini, sekitar Jun lepas.

Pendakwaan bagi kesalahan itu, dilakukan mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 18 Jan 2021 untuk sebutan semula kes.



Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nadzirah Zahari manakala tertuduh diwakili peguam Najmi Dawami Abdul Hamid.

AWAL ASHAARI AKUI BELUM TERIMA SURAT SAMAN RM3 JUTA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button