Anthony Loke mengaku arah MP DAP tidak bangun

KUALA LUMPUR – Ketua Parlimen DAP, Anthony Loke Siew Fook mengaku bertanggungjawab sepenuhnya memberikan arahan kepada Ahli-ahli Parlimen parti itu supaya tidak bangun meminta undi belah bahagi ketika pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat petang Khamis.

Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, arahan tersebut dibuat selepas mendapat pesanan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau faham ramai ahli dan penyokong DAP amat kecewa terhadap keputusan tersebut dan mengecam tindakan blok pembangkang.

“Saya memohon maaf secara terbuka sekiranya saudara dan saudari merasakan keputusan ini adalah satu keputusan yang salah.

“Saya hanya boleh menjanjikan bahawa semua Ahli Parlimen DAP akan pastikan bahawa mulai Isnin depan…….”The fight will go on”,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Menurut Anthony, keputusan tidak mengundi untuk belah bahagi kerana pembangkang tidak menolak keseluruhan Belanjawan tersebut malah perkara yang dipersetujui seperti pembayaran gaji untuk kakitangan awam, elaun khas untuk frontliners dan bantuan tunai kepada rakyat.

Begitu juga dengan subsidi gaji untuk majikan, peruntukan untuk pengangkutan seperti MY30 dan lain-lain peruntukan yang memberi manfaat terus kepada rakyat.“Namun, banyak juga peruntukan yang kita tolak seperti peruntukan RM85 juta untuk JASA, pemotongan peruntukan untuk pelbagai jenis aliran sekolah dan isu-isu lain yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang,” katanya.

Katanya, bantahan serta penolakan terhadap peruntukan yang tidak dipersetujui akan dibuat di peringkat jawatankuasa kementerian masing-masing.

“Contohnya, kita akan minta undi belah bahagi untuk tolak belanjawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana JASA merupakan agensi di bawah kementerian tersebut,” katanya.

Anthony berkata, jika semua Ahli Parlimen pembangkang bangun memohon undi belah bahagi dan menolak pada petang tadi, tentunya serangan daripada pihak Perikatan Nasional akan menyusul.

“Mereka akan tuduh Pakatan Harapan ingkar kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong, tidak mahu gaji kakitangan awam dibayar, tidak menyokong bantuan kepada golongan B40, menyekat elaun hidup untuk petani dan nelayan.

“Mereka akan memainkan sentimen rakyat dengan pelbagai tuduhan tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Rang Undang-undang Perbekalan 2021 hanya lulus peringkat bacaan kedua atau di peringkat dasar.

Mulai Isnin depan, perbahasan akan masuk peringkat Jawatankuasa di mana perbelanjaan untuk setiap kementerian perlu dibahaskan secara terperinci dan diluluskan.

“Mulai Isnin depan, setiap hari ada peluang untuk undi belah bahagi dipanggil oleh sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen,” katanya.

— MalaysiaGazette

ADUN DAP SENDIRI KELUAR PARTI KERANA DISKRIMINASI, KENAPA ANTHONY LOKE TUDING BN?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker