Bersatu buka pintu kepada rakan politik sertai PN

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui tidak boleh bersendirian dalam politik, sebaliknya memerlukan rakan dari parti lain untuk menghadapi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Bersatu yakin boleh menang kerusi jika bertanding secara bersendirian, tetapi tidak mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Justeru, katanya, beliau berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pas, STAR dan SAPP yang sudi bersama Bersatu menjadi parti anggota pengasas Perikatan Nasional (PN).

β€œAlhamdulillah, berkat kecekalan dan kesabaran kita, PN telah tertubuh dengan rasminya pada 7 Ogos 2020 dengan dianggotai oleh Bersatu, Pas, STAR dan SAPP.



β€œPenubuhan PN sebagai gabungan politik baharu adalah satu pencapaian penting dalam sejarah politik negara yang pastinya akan melakar banyak kejayaan dalam waktu yang mendatang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2020, yang diadakan secara maya, hari ini.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah persidangan parti diadakan secara maya kerana keperluan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa ketika ini.

Menurut Muhyiddin, penubuhan PN merupakan satu wawasan politik yang penting bagi semua pihak, yang mana menggabungkan Bersatu dan PAS dalam sebuah gabungan politik di peringkat nasional menjadi sumber kekuatan politik yang penting bagi orang Melayu dan masyarakat Islam.



Pada masa sama, katanya, PN juga mempunyai rakan politik dari parti STAR dan SAPP yang mewakili masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera di Sabah.

β€œInsya-Allah, kita sedang menimbang permohonan daripada parti politik lain yang berhasrat untuk menyertai PN dalam masa terdekat yang akan menjadikan PN sebagai sebuah gabungan politik yang berciri nasional serta mewakili kepentingan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Muhyiddin turut menyentuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, apabila beliau membuat keputusan menggunakan lambang PN untuk pertama kalinya dalam pilihan raya itu.

Jelas beliau, ramai agak meragui keputusan itu kerana PN adalah parti yang baharu dan lambangnya tidak dikenali berbanding parti lain yang lebih lama.

β€œTetapi, saya mengambil risiko. Saya bertawakkal kepada Allah. Jika PN dapat diterima di Sabah, saya yakin PN dapat diterima oleh rakyat di seluruh negara. Kita cetak bendera, baju, topi dan lain-lain dengan logo PN. Agak mengujakan, PN walaupun sebuah parti yang baharu telah diterima dengan baik oleh rakyat di Sabah.

β€œKe mana-mana saya pergi ketika berkempen, bendera PN berkibar megah di seluruh pelosok negeri Sabah, di mana calon kita bertanding. Apa sebab mereka menerima baik PN? Sebabnya kerana imej PN sebagai sebuah kerajaan yang berfungsi dengan kepimpinan yang prihatin, amanah dan mengutamakan kebajikan rakyat.

β€œHasilnya, PN menang 17 daripada 29 kerusi yang ditandingi dan bersama dengan parti rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah yang dianggotai oleh PN, BN dan PBS, kita telah berjaya membentuk kerajaan negeri Sabah yang baharu,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu Sabah dan semua pihak yang telah membantu kemenangan PN dalam PRN Sabah. – MalaysiaGazette

Barisan Nasional Kekal Relevan Pada Rakyat

Barisan Nasional Kekal Relevan Pada Rakyat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker