Tekad merdekakan Palestin terus membara sempena Hari Perpaduan

49efd1fe6c703b4c3ea256b0246a1eb55fc3040fc0df9

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 29 Nov — Masyarakat global perlu terus memantapkan lagi usaha dan berganding bahu untuk memastikan konflik Palestin dapat dirungkai dan diselesaikan sepenuhnya, ketika dunia menyambut Hari Perpaduan Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin hari ini (29 November), .

Menurut Felow Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Datuk Dr Rashila Ramli hari itu penting untuk menyedarkan dunia mengenai keperitan perjuangan rakyat Palestin melawan penindasan dan kekejaman Israel.

“Penting untuk memastikan isu itu terus diketengahkan supaya masyarakat sedar masalah (negara Palestin) ini perlu segera diselesaikan,” katanya kepada Bernama dalam sebuah wawancara, di sini.

Rashila berkata semua pihak mesti bersatu dan melipatgandakan usaha mencari jalan keluar walaupun rumit, tetapi penyelesaiannya amat bergantung kepada peranan beberapa pemain tertentu.

“Penting bagi kita mencari jalan keluar kerana pihak tertentu yang bertindak sebagai pemain utama sering kali berubah. Sekarang ada Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, dan sudah tentu negara Arab dan Rusia juga mengikuti perkembangan ini. Dengan keadaan tidak menentu sekarang penting untuk melihat siapa pihak terbaru itu,” katanya.

Menurutnya, dasar luar AS terhadap isu Palestin-Israel tidak mungkin berubah walaupun di bawah pemerintahan bakal presiden Joe Biden kerana kuasa besar itu sudah tentu akan terus menyokong Israel, tetapi masih penting untuk mengkaji bentuk sokongan mereka terhadap Tel Aviv.

Namun, Rashila berkata pemulihan hubungan diplomatik antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain dengan Israel mungkin, pada hakikatnya menyuntik sedikit sinar harapan untuk konflik yang telah lama berlarutan itu.

Diharapkan, keputusan itu akan membuka lebih banyak peluang dan ruang ke arah interaksi dan persefahaman antara negara-negara Arab dan Israel.

“Melihat kepada sudut pandang lebih luas (dengan memulihkan hubungan) mungkin akan wujud lebih perdagangan yang lebih baik dan hubungan rakyat dengan rakyat.

“Apabila adanya hubungan rakyat dengan rakyat, lebih banyak interaksi dan perdagangan terhasil. Saluran tidak rasmi boleh berlaku dan itu memungkinkan lebih ruang untuk mewujudkan kesefahaman dan boleh mempengaruhi cara Israel,” katanya.

UAE dan Bahrain masing-masing memulihkan hubungan diplomatik dengan Israel pada Ogos dan September di bawah ‘Perjanjian Abad Ini’ yang diterajui AS.

Ahli akademik Profesor Zaid Ahmad dari Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Putra Malaysia berkata, pemulihan hubungan UAE dan Bahrain dengan Israel dilihat akan merumitkan lagi konflik yang sudah berlarutan lebih enam dekad itu.

Beliau menyifatkan keputusan itu tidak produktif untuk inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ini bukan petanda baik untuk perpaduan terutama di antara negara-negara Arab. Lebih-lebih lagi ia dilihat bagaikan tidak prihatin terhadap penderitaan rakyat Palestin,” katanya.

Ujarnya, hari memperingati itu tidak sepatutnya sekadar simbolik, sebaliknya mesti dipenuhi dengan agenda konkrit, dan disertai sebanyak mungkin negara sehingga ketika mampu bertindak terhadap Israel, sekali gus mendorong sokongan daripada yang lain.

“Saya rasa sokongan daripada kuasa besar sangat penting, disusuli komitmen yang jelas daripada masyarakat dunia, beberapa tindakan berkesan mesti boleh diambil terhadap rejim Israel, yang jelas mencabuli resolusi PBB,” katanya.

Pada 1977, PBB menetapkan 29 November sebagai Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin.

Tarikh itu dipilih kerana mempunyai sejarah di sebaliknya – hari itu pada 1947, Palestin secara rasmi berpecah dua – sebuah rejim Yahudi dan sebuah lagi negara Arab.

Menurut laman web PBB, sambutan tahun ini akan diadakan pada 1 Disember dengan penganjuran mesyuarat khas di ibu pejabat badan dunia itu di New York.

Antara acara yang akan diadakan ialah pelancaran pameran maya yang menumpukan kepada tembok yang dibina di wilayah Palestin yang diduduki dan akan disiarkan secara langsung melalui TV Web PBB.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) Muslim Imran menggesa rakyat Malaysia berganding bahu dengan masyarakat global dalam memperlihatkan sokongan terhadap rakyat Palestin.

“Perjuangan Palestin satu perjuangan terpanjang dalam sejarah moden. Mustahil untuk menamatkan pendudukan ini tanpa perpaduan dan sokongan antarabangsa.

“Terlalu banyak ranjau yang rakyat Palestin telah lalui, kehilangan nyawa, harta benda dan kedaulatan negara demi memperjuangkan hak kebebasan dan kemerdekaan. Justeru, 29 November penting bagi kita untuk mengingati dan menyoroti pahit maung perjuangan untuk sebuah negara Palestin yang bebas dan bermaruah,” katanya.

Katanya, sambutan tahun ini akan diadakan secara dalam talian kerana wabak COVID-19.

Antara program yang disusun termasuk perkongsian sokongan mereka terhadap perjuangan Palestin melalui pesanan, video pendek dan poster serta perbincangan.

Katanya, PCOM akan mengambil bahagian dalam wacana Facebook Live ‘Youth Youth and the issue of Palestin’ anjuran Persatuan Progresif Palestin Malaysia (PPAM) pada Ahad.

AL-AQSA TERDEDAH PELAN PENGAMBILALIHAN SECARA TOTAL ISRAEL

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker