Angkara COVID-19, lima pengusaha tadika nekad jadi peladang

9fcf67738d4dc8f79c6fdc94b911be1f5fc46ed674d23
Pemegang saham syarikat Mokpek Agro Sdn Bhd, Chahaya Abdul Manan, 59, semasa ditemu bual secara eksklusif dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia mengenai bidang perladangan yang diceburi di kebunnya di Brisu

ALOR GAJAH, 30 Nov — Terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas yang menyebabkan banyak sektor perniagaan ditutup selama hampir tiga bulan, lima pengusaha tadika nekad beralih arah dengan menceburi bidang perladangan.

Langkah itu dibuat angkara penularan COVID-19, setelah menilai risiko yang akan dihadapi sekiranya tadika yang diusahakan sejak sekian lama, terpaksa ditutup akibat ketidaktentuan ekonomi serta bagi memastikan kelangsungan hidup.

d1c5881e8447307c24964c6088c75fdc5fc46f85c6d11

Malah, kumpulan lima pengusaha ini turut memberi peluang kepada bekas banduan untuk bersama-sama mereka dalam mengusahakan aktiviti pertanian berkenaan di sebuah tapak bekas kebun getah di Brisu, dekat sini.

Pemegang saham syarikat Mokpek Agro Sdn Bhd, Chahaya Abdul Manan, 59, berkata beliau dan empat lagi rakannya berpakat untuk mengusahakan ladang berkonsepkan ecopelancongan dan menggabungkan tiga aktiviti iaitu pertanian, penternakan dan perikanan dalam bidang yang baru diceburi mereka itu.



“Apabila tadika ditutup pada Mac lepas akibat penularan COVID-19, kami semua terfikir apa akan jadi jika ia berterusan, dan melihat kepada perkembangan global, hanya aktiviti pertanian yang mampu bertahan dalam ekonomi yang mencabar.

“Justeru, pada Jun lepas, kami mengambil keputusan untuk terlibat dalam bidang perladangan dengan membeli kebun getah seluas 2.02 hektar berharga RM290,000 di Brisu. Pemegang saham masing-masing berasal dari Melaka, Selangor dan Johor,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Chahaya, yang juga Pengerusi Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia, berkata antara aktiviti yang dijalankan adalah tanaman pokok kurma Ajwa, vanilla, kunyit hitam, halia Bentong selain penternakan ikan Kelah, Tilapia dan ikan Pelaga serta penternakan Rusa Nani, kambing Kacang (pigmy goat), kuda padi dan penghasilan madu kelulut.

“Hasil daripada aktiviti pertanian dan penternakan ini akan dijual memandangkan beberapa tumbuhan seperti vanilla, kunyit hitam, halia bentong serta madu kelulut mendapat permintaan tinggi daripada pasaran. Ladang ini juga berpotensi untuk dijadikan pusat latihan kepada kanak-kanak dan penduduk kampung yang mahu belajar mengenai pertanian secara integrasi selain sesuai dijadikan kawasan ekopelancongan,” katanya.



Beliau berkata pihaknya membuat pinjaman daripada Bank SME selain simpanan peribadi bagi merealisasikan hasrat membuka ladang berkenaan.

“Setakat ini, ladang ini telah berjaya menyiapkan ‘Kelulut Walk’ yang mempunyai 66 sarang kelulut walaupun hanya lima bulan beroperasi manakala aktiviti pertanian dan penternakan sedang dijalankan dari semasa ke semasa. Kami jangka akan dapat menuai hasil dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Chahaya berkata ladang itu juga memberi peluang kepada bekas banduan yang insaf dan mahu berubah dengan menawarkan mereka menjadi sebahagian daripada pemegang saham.

Beliau berkata setakat ini dua bekas banduan, masing-masing berusia 27 dan 49 tahun, telah diterima menjadi pemegang saham dalam syarikat berkenaan.

Katanya, pihaknya bersepakat untuk memberi peluang kedua kepada mereka untuk berubah menjadi insan yang lebih baik tanpa mengira kisah silam mereka.

“Mereka akan diberi saham dan perlu bersama-sama kami mengusahakan ladang ini kerana mereka tidak diberi gaji, namun keuntungan daripada hasil pertanian akan dibahagikan sama rata,” katanya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada 6 Nov lepas, dilaporkan berkata kerajaan akan memberi potongan cukai tambahan kepada majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas banduan dan bekas penagih dadah serta mengintegrasikan golongan ini ke dalam masyarakat.

— BERNAMA

Polis Marin utamakan kawal sempadan negara semasa banjir

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker