Hockademy tak sertai LHM 2021 kerana COVID-19

ac5cc63a58bb32e9b1ce684a577291e75fc255190565b

KUALA LUMPUR, 29 Nov — Hockademy mengambil keputusan untuk tidak menyertai Liga Hoki Malaysia (LHM) 2021, yang dijadualkan dari 8 Jan hingga 28 Feb depan disebabkan ketidaktentuan pandemik COVID-19 yang masih melanda negara.

Kelab tersebut menerusi kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat sebulat suara oleh majlis tertinggi pengurusannya pada 15 Nov lalu, sekali gus menyaksikan skuad wanita Hockademy terlepas peluang mempertahankan kejuaraan LHM.

Menurutnya, pihaknya akan menghadapi kesukaran mengadakan sesi pemilihan dan latihan sekiranya menyertai liga, selain tempoh persiapan yang singkat susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan di Lembah Klang sehingga 6 Dis ini.

“Antara sebab lain ialah wujud kemungkinan PKPB akan disambung lagi sekali gus menimbulkan ketidaktentuan tarikh penganjuran LHM dan kemungkinan ia akan ditangguhkan. Kes COVID-19 masih mencatat bacaan empat angka sekali gus menimbulkan kebimbangan dan ancaman kesihatan ke atas pemain dan pegawai pasukan.

“Sukar untuk mendapatkan penajaan ketika rata-rata syarikat terjejas dan berdepan impak kewangan yang teruk sepanjang tahun ini. Apapun, pihak Hockademy mendoakan kelicinan penganjuran LHM 2021 buat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selain mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan yang mengambil bahagian,” menurut kenyataan itu.

Hockademy bagaimanapun berkata pihaknya bersedia untuk mengambil bahagian dalam Liga Hoki Remaja Malaysia 2021 tetapi bergantung kepada situasi pandemik ketika itu.

“Buat masa ini pihak Hockademy hanya ingin menumpukan kepada program pembangunan akar umbi kami yang dikenali sebagai Program Hocka Kids,” menurut kelab itu.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata Hockademy terlepas peluang menyertai LHM 2021 kerana gagal mengesahkan penyertaan selepas tarikh tutup pendaftaran tamat pada 19 Nov lalu.

Kelab yang dimiliki Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin itu, mencipta sejarah apabila muncul juara liga pada penampilan sulung dalam kategori wanita, manakala skuad lelaki pula menamatkan saingan di kedudukan keenam daripada lapan pasukan liga.

 

Hockademy tuntut KHM segera lunas hadiah kemenangan LHM 2020

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker