Lelaki Indonesia dipercayai pengedar dadah ditahan
Datuk Ahmad Fuad Othman
KALABAKAN, 30 Nov — Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki Indonesia dipercayai pengedar dadah di hadapan sebuah rumah di ladang sawit Bukit Tukok dekat sini, pada Sabtu lepas.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Ahmad Fuad Othman berkata suspek yang juga pendatang haram berumur 20 tahun itu ditahan pada 4.30 petang dalam rondaan jarak jauh Op Benteng dilakukan PGA.
“Suspek yang dalam keadaan mencurigakan ditahan bersama lima peket dadah syabu bernilai RM4,200 (47.47 gram) yang ditemukan di dalam beg silangnya.
“Sebelum itu, suspek cuba melarikan diri daripada anggota bertugas namun berjaya ditahan dan turut didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad Fuad berkata turut dirampas wang tunai RM270 termasuk satu unit alat penimbang digital dan semua barang rampasan serta suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, katanya ESSCom memohon kerjasama semua pihak agar melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara dengan mengubungi Pusat Operasi (PUSOP) ESSCom di talian 089-863181.
Menurutnya, ESSCom terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memperketatkan kawalan keselamatan dengan melaksanakan rondaan agresif secara bersepadu bagi mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.
ESSCom sahkan rompakan laut di Pulau Burung, libat kelompok dalaman