Pesawah rugi RM30,000 diperdaya sindiket Macau Scam

abb354a492d68cb6db8b7661d4912a2e5ea850e1d6f63

ALOR SETAR, 30 Nov — Seorang pesawah kerugian RM30,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mengatakan mangsa kononnya terlibat dalam penyelewengan wang dan sindiket dadah, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Supt Elias Omar berkata mangsa, lelaki berusia 37 tahun dari Tikam Batu, Sungai Petani pada mulanya dihubungi seorang individu yang mendakwa sebagai pegawai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya.

“Suspek telah memperkenalkan diri sebagai ‘Encik Khairul Anwar’ yang mengaku sebagai pegawai LHDN cawangan Cyberjaya dan suspek telah memberitahu mangsa bahawa dia (mangsa) mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM39,800.90.

“Suspek juga memberitahu mangsa bahawa namanya telah disalahgunakan oleh individu lain untuk pendaftaran syarikat di Kuantan, Pahang sebelum menyambungkan panggilan mangsa kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai anggota polis di Kuantan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.



Elias berkata, suspek kedua itu kemudian telah menyoal siasat mangsa dan memaklumkan mangsa kononnya secara tidak langsung terlibat dalam kegiatan penyelewengan wang serta sindiket dadah.

Katanya, suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan semua wang daripada tiga akaun milik mangsa ke dalam satu akaun sahaja sebelum meminta mangsa memberikan nombor akaun bank, nombor kad debit dan butiran perbankan.

Menurutnya, mangsa menyedari ditipu selepas membuat semakan ke atas akaun bank miliknya dan mendapati sebanyak RM30,000 telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga.

“Mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Petani semalam dan satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.



Sehubungan itu, Elias menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan yang diterima oleh pihak yang mendakwa daripada agensi kerajaan atau bank yang meminta maklumat akaun bank kononnya bagi tujuan siasatan atau lain-lain.

“Sindiket jenayah selalunya menggunakan modus operandi sedemikian untuk tujuan penyamaran dan menipu mangsa,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker