24 lelaki didakwa sertai jenayah terancang diarah kemuka laporan perubatan

b2e4dc9ca43e9004fd4edb308e20029b5e3a5ea4d004e

SUNGAI PETANI, 1 Dis — Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan 24 tertuduh yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang pada Oktober lepas mengemukakan laporan perubatan bagi mengesahkan tahap kesihatan masing-masing.

Hakim Azman Abu Hassan mengarahkan laporan itu dikemukakan sebelum atau pada 20 Dis dan dikeluarkan oleh doktor kerajaan dengan pemeriksaan kesihatan menyeluruh terhadap kesemua tertuduh yang berumur antara 20 hingga 58 tahun itu.

Beliau memutuskan demikian selepas peguam Rafael Abdullah, yang mewakili salah seorang tertuduh memohon kebenaran mahkamah untuk membawa seorang doktor pakar dari sebuah hospital swasta ke mahkamah bagi memeriksa anak guamnya yang didakwa mempunyai masalah kesihatan termasuk jantung.

Menurut Rafael, pada awalnya beliau ingin membawa doktor berkenaan ke penjara namun tidak dibenarkan susulan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19, menyebabkan beliau memohon kebenaran untuk membawa pakar ke mahkamah.

Permohonan Rafael itu turut dipersetujui empat peguam mewakili tertuduh lain, yang mahukan anak guam mereka turut menjalani pemeriksaan kesihatan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad tidak membantah permohonan itu.

Sehubungan itu, hakim memutuskan agar kesemua tertuduh perlu mengemukakan laporan perubatan mereka bagi membolehkan mahkamah meneliti tahap kesihatan masing-masing melalui laporan perubatan penuh sebelum sebutan semula kes pada 31 Dis ini.

Pada prosiding hari ini, hanya 23 tertuduh hadir manakala seorang lagi tidak dapat hadir kerana berada di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah, Perak yang kini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sebaik tamat prosiding, mahkamah membenarkan 23 tertuduh berjumpa seorang ahli keluarga masing-masing selama tiga minit, dengan kawalan ketat polis berikutan kesemua mereka sudah 42 hari dilarang berbuat demikian atas faktor mematuhi SOP COVID-19.

Pada 22 Okt lepas, kesemua lelaki berkenaan didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Sungai Petani antara 1 Jan 2019 hingga 26 Sept lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, pada 21 Okt lepas, polis percaya satu sindiket memproses dadah dan jenayah kekerasan di sekitar Sungai Petani berjaya ditumpaskan susulan penahanan kesemua lelaki itu termasuk ketua kumpulan mereka yang dikenali sebagai ‘Rusa Boy’.

Polis tahan 40 ahli sindiket jenayah terancang seludup pendatang asing

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker