Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan rayuan Malaysiakini

681d393bdb307a890959a2b2119babe45ed686dc86349

PUTRAJAYA, 1 Dis — Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan penghakimannya ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian berhubung rayuan Malaysiakini terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan portal berita itu membayar ganti rugi RM200,000 kepada syarikat Raub Australian Gold Mine (RAGM) berkaitan penerbitan artikel yang mempunyai unsur memfitnah.

Panel lima hakim dipengerusikan Datuk Vernon Ong Lam Kiat membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Datuk Dr Cyrus Das, yang mewakili Malaysiakini, dan Tan Sri Cecil Abraham bagi pihak RAGM dalam prosiding secara dalam talian susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Turut bersidang Datuk Abdul Rahman Sebli, Puan Sri Zaleha Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Pada 11 Jan 2018, Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Malaysiakini serta tiga defendan lain, yang merupakan staf editorialnya, membayar RM200,000 sebagai ganti rugi dan RM150,000 sebagai kos perundangan.



Mahkamah Rayuan mendapati bahawa tiga artikel serta dua video yang diterbitkan pada 2012 berkaitan aktiviti perlombongan RAGM adalah tidak seimbang dan berat sebelah kerana tidak memuatkan respons daripada Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan serta Jabatan Tanah dan Galian.

Pada 23 Mei 2016, Mahkamah Tinggi telah menolak saman RAGM terhadap Malaysiakini dan tiga lagi.

Terdahulu, Das berhujah bahawa artikel dan video yang diterbitkan itu adalah berdasarkan maklumat dan ekstrak yang diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk penerbitan berita lain, blog serta penerbitan semula dua sidang akhbar oleh Jawatankuasa Tindakan Mengharamkan Sianida Dalam Perlombongan Emas di Raub, Pahang (BCAC) yang dibentuk oleh penduduk Bukit Koman bagi menentang penggunaan sianida oleh RAGM dalam aktiviti perlombongannya.

“Mahkamah Rayuan juga gagal menimbangkan keterangan bahawa sejak awal lagi, perayu cuba menghubungi wakil responden untuk mendapatkan komen mereka sebelum penerbitan artikel itu berhubung aktiviti perlombongan emasnya. Responden secara konsisten telah menolak serta mengelak dihubungi dan berkomunikasi dengan perayu.



“Memandangkan artikel dan video terbabit mempunyai kepentingan awam, perayu telah menerbitkannya tanpa komen daripada pihak responden kerana peluang telah diberikan namun ditolak oleh responden. Mahkamah Rayuan bagaimanapun telah terkhilaf menilai keterangan ini dan memutuskan bahawa terdapat kegagalan untuk mendapatkan pengesahan dan menolak pembelaan kewartawanan yang bertanggungjawab,” katanya.

Abraham pula berhujah bahawa artikel dan video terbabit bersifat menuduh dan lebih cenderung memberikan ruang serta peluang kepada ahli politik pembangkang untuk mengeksploitasi dakwaan BCAC yang tidak disahkan.

Beliau juga berkata adalah jelas bahawa perayu tidak mempunyai fungsi selain sebagai sebuah blog yang menyiarkan perkara tidak benar dalam usaha menarik perhatian dan jumlah pembaca yang besar menggunakan maklumat sensasi yang keseluruhannya tidak tepat.

“Ini adalah antara kes terburuk berkaitan kewartawanan tidak bertanggungjawab. Mengenai isu pengesahan, rakan saya yang bijaksana (Das) berhujah bahawa memang terdapat pengesahan namun hakikatnya, tidak ada pengesahan dibuat.

“Mereka telah mengemukakan soalan itu kepada (Datuk Seri) Andrew Kam (Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif RAGM), berkaitan prosiding semakan kehakiman yang sedang berlangsung di mahkamah dan oleh itu, Andrew Kam tidak mahu memberikan komen,” katanya yang meminta rayuan itu ditolak dengan kos.

Pertuduhan Gagal Bayar Cukai, Kenyataan Palsu: Saya Tidak Bersalah – Ahmad Maslan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker