Polis akan mohon lanjutkan perintah reman terhadap pendakwah muda

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Polis akan memohon pelanjutan tahanan reman terhadap seorang pendakwah muda yang juga selebriti televisyen kerana disyaki melakukan jenayah seksual dan menyebabkan kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata lima laporan diterima di Shah Alam manakala satu di Petaling Jaya oleh enam pengadu wanita berlainan.

“Suspek akan tamat reman untuk kes pertama esok. Namun, beberapa laporan diterima hari ini. Kita akan memohon perintah reman dilanjutkan untuk siasatan kes-kes yang baharu diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Fadzil menggesa sekiranya terdapat mangsa lain agar tidak bimbang untuk tampil membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima satu laporan daripada seorang pelajar wanita yang mendakwa dirinya dicabul oleh pendakwah muda terbabit.

Beliau berkata pelajar kolej tempatan berusia 22 tahun itu, mendakwa kejadian berlaku di rumah suspek di Damansara Perdana pada 17 Okt lepas.

“Dalam kejadian itu, mangsa dipelawa suspek ke rumahnya untuk mengajar mengenai ilmu pemasaran perniagaan tetapi mangsa kemudian dicabul dan dipaksa melakukan seks oral,” katanya.

Beliau berkata mangsa dikatakan mengalami trauma dan kini mendapatkan rawatan di sebuat pusat perubatan di sini.

Sebelum ini, suspek berusia 25 tahun itu ditahan pada Jumaat lepas susulan satu laporan dibuat oleh mangsa berumur 23 tahun pada Rabu lalu atas dakwaan merogol, dan direman selama lima hari sehingga esok.

Lelaki samun dan cabul pelajar perempuan, ditahan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker