Belanjawan NS 2021 menyeluruh, perlu disalur tepat golongan sasar

Datuk Seri Mohamad Hassan

30/11/2020 05:56 PM

SEREMBAN, 30 Nov — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan Belanjawan Negeri Sembilan 2021 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Jumaat lalu adalah belanjawan yang menyeluruh dengan pelbagai insentif disalurkan kepada rakyat.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata belanjawan itu turut mengambil kira keadaan semasa negara susulan penularan pandemik COVID-19 di negara ketika ini.

“Kesempitan hidup amat menekan ketika ini, bukan sahaja di Negeri Sembilan, malah seluruh dunia, ia fenomena baharu yang perlu kita hadapi dengan cekal hati, maka segala usaha perlu dilakukan bersama bagi memastikan pengakhiran cerita rakyat dapat perhatian kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2021) 2020 bersekali dengan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Diraja dan Usul Anggaran Pembangunan Negeri Sembilan 2021 pada persidangan DUN Negeri Sembilan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, belanjawan defisit yang besar diumumkan itu perlulah disalurkan tepat kepada kumpulan sasar bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.

Mohamad berkata dasar belanjawan itu juga sepatutnya mempunyai gandingan yang baik antara dasar pembendungandan dasar pemulihanyang mana bukan sahaja membantu rakyat terkesan COVID-19 tetapi pada masa sama dapat memulihkan kembali ekonomi mereka.

“Pembangkang tidak ada masalah jika kerajaan membuat belanjawan yang begitu besar, tidak pernah terjadi dalam sejarah Negeri Sembilan, defisit begitu besar sehingga 25 peratus daripada pendapatan kerajaan, tapi itu bukan isunya.

“Saya lihat dasar belanjawan dibentangkan Menteri Besar, banyak dasar pembendungan, tidak banyak menyentuhdasar pemulihan, kita tidak mahu sentiasa memberi ‘ikan’ kepada orang, ‘ikan’ kita habis, kena cari punca menambah ‘ikan’ supaya ia dapat terus diberikan kepada orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata kerajaan negeri juga perlu menangani jurang pendapatan isi rumah golongan bandar dan luar yang semakin melebar di negeri ini.

Jelasnya berdasarkan kajian Pekali Gini (Gini coefficient) pada tahun 2019 menunjukkan ada pembesaran jurang yang begitu ketara antara luar bandar dan bandar di negeri itu sehingga mencapai 0.39 peratus.

“Kita perlu pastikan jurang ini jangan terus meluas, kalau perlu kita cangkupkan luar bandar bersama kita, supaya tidak terus hanyut, kalau dah hanyut maka amat susah untuk kembalikan jurang itu,” katanya.

Justeru, Mohamad berkata kerajaan negeri perlu memberi panduan kepada mana-mana kementerian menyalurkan peruntukan bagi memastikan pembahagian dana dapat diagihkan kepada rakyat secara saksama.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kerajaan negeri untuk menambah insentif kepada pelabur tempatan dan asing dalam usaha menarik lebih ramai pelabur sekali gus mampu meningkatkan taraf ekonomi negeri itu.

“Dalam keadaan orang merebut pelabur, kita mesti menonjol daripada negeri lain, kita perlu ada niche point, perlu ada dasar yang boleh menggamit pelabur,” katanya.

Persidangan bersambung esok.

Maut selepas disuntik vaksin, Perdana Menteri Korea Selatan arah siasatan menyeluruh

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker