‘King Gobal’ sah ketua jurulatih Brunei

Datuk K. Rajagobal

01/12/2020 06:05 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 1 Dis — Bekas pengendali skuad negara Datuk K. Rajagobal hari ini mengesahkan menerima tawaran sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Brunei dengan kontrak dua tahun berkuat kuasa Januari 2021.

Ia merupakan kemunculan semula Rajagobal, 64, di pentas antarabangsa dalam tempoh tujuh tahun selepas membimbing skuad Harimau Malaya bermula 2009 sehingga 2013.

Rajagobal atau lebih dikenali sebagai ‘King Gobal’ yang membawa Malaysia muncul juara Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) buat julung kali pada 2010, berkata tawaran itu satu penghormatan bagi dirinya.

“Ia memberi inspirasi dan motivasi kepada saya untuk kembali semula memberi sesuatu kepada arena bola sepak. Ini juga peluang untuk saya menikmati semula suasana dan apa yang pernah saya lalui sewaktu menjadi ketua jurulatih Malaysia.

“Saya memandang ke hadapan untuk memulakan tugas ini dan mengambil cabaran bagi meningkatkan keseluruhan tahap pasukan. Walaupun ia bukan sesuatu yang boleh dibuat dalam sekelip mata, saya harap dapat lihat perbezaan peningkatan sedikit dalam masa yang singkat,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, Rajagobal antara tiga calon yang disenarai pendek Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) bagi menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih selepas satu proses pemilihan teliti dilakukan badan induk itu.

Rajagobal berkata perkara pertama yang bakal dilakukan adalah mengubah mentaliti barisan pemain serta meningkatkan tahap keyakinan mereka.

“Kita tahu di mana kedudukan Brunei dalam ranking FIFA dan struktur bola sepak mereka tetapi kita tak boleh lihat dari satu sudut sahaja. Sebagai jurulatih saya cuba tampilkan perbezaan dari segi pemikiran pemain, menjadikan mereka lebih berkeyakinan dalam masa terdekat,” jelas beliau.

Pasukan Brunei kini menduduki ranking ke-191 dunia.

Kewibawaan Rajagobal di pentas antarabangsa turut dibuktikan dengan kejayaan membimbing skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, mengakhiri kemarau 20 tahun meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos.

Di peringkat kelab, beliau yang memiliki pengalaman 30 tahun selaku jurulatih pernah menabur bakti bersama beberapa pasukan utama antaranya PKNS FC, Selangor, Kelantan dan Sarawak sebelum kembali membimbing PKNS FC dari 2017-2019.

— BERNAMA

Rajagobal antara tiga calon ketua jurulatih skuad kebangsaan Brunei

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker