Pfizer, Biontech tunggu kelulusan EU untuk vaksin COVID-19

img_825x516_16.jpg

02/12/2020 10:59 AM

BRUSSELS, 2 Dis — Firma farmasi Pfizer dan BioNTech, serta pesaing Moderna, telah mengajukan permohonan untuk mendapat kelulusan vaksin COVID-19, lapor agensi berita Xinhua menurut Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) pada Selasa.

Syarikat-syarikat itu cuba mendapatkan “kelulusan pemasaran bersyarat”. Kelulusan akan diberikan setelah agensi mendapati data cukup kuat untuk menjamin kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Dalam satu kenyataan berasingan, EMA berkata permohonan dikemukakan syarikat Amerika Syarikat (AS) Pfizer dan rakan kongsinyanya dari Jerman BioNTech akan dinilai pada mesyuarat jawatankuasa khas yang akan diadakan sebelum 29 Disember.

Sementara itu permohonan Moderna Biotech Spain, anak syarikat firma bioteknologi AS Moderna, akan dibincangkan selewat-lewatnya pada 12 Januari tahun depan.

Sekiranya EMA memberikan reaksi positif, Suruhanjaya Eropah, bagi pihak Kesatuan Eropah (EU), akan mempercepatkan proses membuat keputusan memberi kebenaran pemasaran bersyarat di seluruh EU dan negara anggota EEA (Kawasan Ekonomi Eropah ) dalam tempoh beberapa hari, menurut jurucakap Suruhanjaya.

Ketika dunia sedang berjuang untuk mengatasi pandemik, negara termasuk Perancis, Jerman, China, Rusia, United Kingdom dan AS berlumba-lumba mencari vaksin.

Menurut laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia, pada 26 November, terdapat 213 vaksin COVID-19 percubaan yang dibangunkan di seluruh dunia dan 49 daripadanya sedang menjalani ujian klinikal.

Leave a Reply