COVID-19: Enam individu langgar kuarantin di Thailand disahkan positif

03/12/2020 12:09 AM

BANGKOK, 2 Dis — Enam lagi rakyat Thailand yang melanggar arahan kuarantin selepas menyelinap masuk ke negara ini dari Myanmar dengan menyeberangi sempadan disahkan positif COVID-19.

Sehingga kini, 10 wanita rakyat Thailand disahkan positif COVID-19 selepas memasuki negara ini secara haram. Mereka yang melanggar arahan kuarantin itu bekerja di wilayah Tachileik, Myanmar.

Dalam perkembangan terkini, enam wanita rakyat Thailand berusia antara 21 hingga 36 tahun, menyelinap masuk ke negara ini dari wilayah utara Chiang Rai minggu lepas dan disahkan positif COVID-19 beberapa hari kemudian. Sebahagian daripada mereka telah pergi ke Bangkok dan wilayah lain.

Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand Dr Sophon Iamsirithawon berkata semua kes baharu terbabit memasuki Thailand melalui Mae Sai, Chiang Rai dan telah melanggar arahan kuarantin wajib.

Beliau berkata kes baharu itu termasuk dua wanita berusia 21 dan 25 tahun yang bekerja di sebuah hotel di wilayah Tachileik, memasuki negara ini melalui sempadan darat Mae Sai dan kemudiannya terbang ke Bangkok dan Phitsanulok.

“Mereka disahkan positif COVID-19 pada Ahad dan Selasa,” katanya pada sidang media hari ini.

Selain itu, Dr Sophon berkata wanita tempatan berusia 36 tahun yang bekerja di Myanmar menyelinap masuk ke Thailand dan kemudiannya menaiki penerbangan dari Chiang Mai ke Bangkok sebelum menaiki bas ke Ratchaburi.

“Dia menjalani ujian COVID-19 di sebuah hospital swasta selepas mendapati seorang rakannya disahkan positif,” katanya.

Kes baharu lain termasuk dua wanita berusia 23 dan 25 tahun tinggal di Chiang Mai adalah kontak rapat kepada satu kes positif dan seorang wanita berusia 28 tahun yang bekerja di sebuah hotel di sempadan pekan Tachileik.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Dr Thongchai Keeratihatayakorn berkata kontak rapat kepada 10 pesakit telah menjalani ujian saringan dan disahkan negatif COVID-19.

“Tiada penularan tempatan dilaporkan setakat ini,” katanya.

Setakat ini, Thailand merekodkan 4,026 kes positif COVID-19 dengan 60 kematian.

Sindiket penipuan SMS: Enam individu disambung reman

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker