Hujan lebat, Pasar Payang dilanda banjir kilat malam tadi

03/12/2020 08:59 AM

KUALA TERENGGANU, 3 Dis — Hujan lebat dalam tempoh kira-kira enam jam bermula 6 petang semalam menyebabkan beberapa lokasi di Terengganu mengalami banjir kilat lewat malam tadi.

Kejadian banjir kilat itu turut dikongsi netizen di media sosial, Facebook melalui video banjir kilat yang turut melanda beberapa pusat pelancongan termasuk Dataran Syahbandar, Pasar Payang dan Kampung Cina.

Malah laluan masuk ke kawasan itu, juga terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan.

Orang ramai juga dilihat saling membantu dalam memastikan kenderaan tidak ditenggelami air, namun kebanyakan peniaga gagal menyelamatkan barang masing-masing kerana air memasuki premis secara tiba-tiba.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memaklumkan setakat 7 pagi ini, seramai 439 mangsa daripada 124 keluarga telah dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan banjir (PPS), iaitu tidak sampai 24 jam selepas PPS terakhir akibat gelombang kedua banjir di Terengganu, ditutup semalam.

Daerah yang terlibat hari ini ialah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Kemaman, malah proses pemindahan mangsa masih berjalan di beberapa daerah lain pagi ini.

Sementara itu, wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Kamaliza Kamaruddin, 39, berkata rumahnya di Jalan Pusara dekat sini, turut dinaiki air pada paras lutut namun masih bernasib baik kerana tidak perlu berpindah ke PPS dan dapat bermalam di tingkat atas.

“Ada barangan elektrik sempat dibawa ke tempat tinggi, tetapi ada perkakas lain yang terpaksa dibiarkan sahaja kerana air terlalu cepat memasuki ke dalam rumah. Ini pengalaman ketiga berdepan banjir kilat sejak tinggal di kawasan perumahan ini,” katanya yang pernah mengalami kejadian serupa pada 2016 dan 2018.

Namun kali ini, tempoh air surut agak lambat iaitu sekitar tujuh jam, kata Kamaliza.

Jurugambar Bernama Mohd Khairul Fikiri Osman, 34, yang turut terkesan berkata rumahnya mula dinaiki air sekitar 9.30 malam dan kira-kira tiga jam selepas itu membuat keputusan untuk keluar bagi menjaga keselamatan isteri dan dua anaknya.

“Saya masih sempat selamatkan peti ais tetapi barangan lain terpaksa dibiarkan kerana air telah memenuhi segenap ruang. Apa yang penting ialah keselamatan keluarga,” katanya yang terpaksa menginap di hotel terdekat.

Setakat 7.30 pagi ini, banjir sudah mulai surut namun hujan renyai-renyai masih berlaku di beberapa kawasan di Terengganu.

Ibu negara dilanda banjir kilat, pokok tumbang

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker