JIPS tingkat penyeliaan ke atas pegawai, anggota di Perak


Datuk Mior Faridalathrash Wahid

02/12/2020 11:40 PM

IPOH, 2 Dis — Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perak akan meningkatkan penyeliaan serta pemantauan terhadap pegawai dan anggota polis di negeri itu bagi memastikan sebarang isu berkaitan ketirisan atau salah guna kuasa dapat diatasi.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata tidak dapat dinafikan semenangnya terdapat pegawai atau anggota yang kurang berintegriti dalam sesuatu kontinjen tetapi jika tidak diatasi ia akan terus menjejaskan imej pasukan.

“Di mana-mana kontinjen, ibarat dalam satu keluarga pasti ada ‘black sheep’. Sebab itu penyeliaan dan pemantauan terhadap pegawai dan anggota perlu dimantapkan.

“Saya baru lagi di Kontinjen Perak, tapi saya dimaklumkan setakat ini tiada pegawai dan anggota yang dikesan hidup mewah melampui pendapatan mereka, tapi tidak boleh kata tiada (ketirisan) berlaku,” katanya ketika ditemui Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, semalam.

Mior Faridalathrash, yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, dilantik sebagai Ketua Polis Perak pada 25 Nov lalu.

Mengenai cabaran sebagai Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash berkata beliau perlu memastikan momentum kontinjen negeri yang mempunyai seramai kira-kira 140,000 pegawai dan anggota terus berada di tahap cemerlang termasuk dalam aspek pencegahan jenayah.

Katanya, ia terbukti apabila bagi tempoh 1 Jan hingga 24 Nov lalu, kadar jenayah di Perak turun daripada 4,441 kes bagi tempoh sama tahun lalu kepada 3,029 kes iaitu penurunan sebanyak 1,412 kes atau 31.8 peratus.

“Prestasi itu menjadikan Perak sebagai negeri yang mempunyai kadar jenayah kedua terendah dalam Malaysia selepas Sabah,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata pencapaian terbaik itu semestinya hasil komitmen semua pihak dalam kontinjen khususnya Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), JSJ dan ketua-ketua polis sebelum ini.

“Tugas saya adalah memastikan keselamatan di Perak berada pada tahap tertinggi kerana itu merupakan harapan masyarakat. Jika kehadiran polis di sesuatu kawasan ditingkatkan, orang akan rasa selamat dan begitulah sebaliknya,” katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk sentiasa bekerjasama dengan media bagi memastikan penyaluran maklumat yang tepat untuk mengelak salah faham sehingga menimbulkan kegusaran orang awam.

6 anggota polis peras orang awam ditahan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker