K Devan sasar bawa Negeri Sembilan ke zaman kegemilangannya

02/12/2020 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Jurulatih berpengalaman K. Devan mahu membawa pasukannya ke zaman kegemilangannya, pada Liga Malaysia 2021.

Jurulatih kelahiran Bahau itu menjelaskan, beliau gembira kerana dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan ‘kijang’ oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri yang juga merupakan Tunku Besar Tampin, dan berjanji untuk membantu pasukan itu layak ke Liga Super 2022.

“Saya amat gembira kerana sekali lagi berpeluang untuk mengendalikan Negeri Sembilan, negeri kelahiran saya yang mempunyai banyak kenangan manis,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia hari ini.

“Berdasarkan kepada situasi pasukan pada masa ini, saya tahu banyak perkara yang perlu dilakukan musim hadapan dan rancangan saya adalah untuk menubuhkan satu pasukan yang mantap, mampu beraksi dengan baik dan membawa Negeri Sembilan ke Liga Super 2022,” kata jurulatih berusia 59 tahun itu.

Devan mendedahkan yang beliau akan merombak pasukan sedia ada dengan membawa masuk beberapa pemain import yang bagus, selain membawa lebih ramai pemain tempatan berpengalaman bagi memperkuatkan pasukan untuk pertandangan Piala Malaysia 2021 yang akan bermula 28 Feb.

Devan memulakan kariernya dalam kejurulatihan bersama Negeri Sembilan pada 2004 dan beliau membantu pasukan untuk merangkul Liga Super musim 2005/06, dan membawa pasukan itu sehingga separuh akhir Piala FA dan perlawanan akhir Piala Malaysia 2006.

Beliau kemudiannya kembali ke Negeri Sembilan buat kali kedua pada 2015, namun gagal membantu pasukan itu meraih sebarang piala.

Negeri Sembilan di bawah jurulatih Sazali Saidun, menamatkan Liga Premier di tangga ke-11 dengan mengutip 11 mata daripada 11 perlawanan (menang tiga kali, seri dua, dan enam kekalahan.

K. Devan ketua jurulatih baharu Negeri Sembilan FC

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker