Malbatt fokus laksana tugas dengan norma baharu

MALBATT 850-7

03/12/2020 05:48 PM

PORT DICKSON, 3 Dis — Pelaksanaan tugas oleh anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) dalam persekitaran norma baharu susulan penularan COVID-19, tidak menghalang anggota untuk kekal fokus, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang.



Beliau berkata hasil penerapan disiplin yang tinggi dan pematuhan yang ketat kepada norma baharu yang diamalkan, ia berjaya mengekalkan ‘zero case’ jangkitan itu dalam kalangan anggota.

Katanya anggota Malbatt yang ditugaskan di Lubnan turut berdepan dengan insiden letupan yang berlaku di Beirut pada 4 Ogos lepas, namun tiada anggota terbabit dalam kejadian itu.

“Sepanjang setahun penugasan, kontinjen ini telah menyaksikan bagaimana kecelaruan aspek domestik seperti pertelingkahan politik dan ketidakstabilan ekonomi mampu menggoyangkan sistem pemerintahan dan pentadbiran negara yang akhirnya memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena perbarisan pembubaran Malbatt 850-7 dan upacara menanggalkan beret biru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini.



Sementara itu Afendi turut meluahkan rasa bangga terhadap anggota yang tetap kekal fokus melaksanakan mandat diberi, termasuklah mengawal selia kawasan tanggungjawab seluas 288 kilometer persegi dan berjaya melaksanakan 52 aktiviti secara berkala bersama Angkatan Tentera Lubnan.

Jelasnya lagi, pasukan Malbatt juga berjaya mengaplikasikan konsep ‘winning the heart and mind’ kepada penduduk tempatan sehingga diberi kepercayaan dan kebenaran untuk menubuhkan ‘Malaysian Hall’ di perbandaran Marakah.

Beliau berkata penubuhan Malaysian Hall itu jelas menunjukkan bahawa kehadiran anggota Malbatt dari Malaysia di Lubnan sangat disenangi dan diterima rakyat tempatan.

Terdahulu, Affendi menyampaikan pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) kepada 850 anggota Malbatt yang menjalankan misi Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).



Selain itu, tiga pegawai dan 27 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang Pegawai Kewangan dari Kementerian Pertahanan Malaysia turut menerima pingat tersebut.

Pingat tersebut bagi mengiktiraf kejayaan pasukan berkenaan menjalankan misi UNIFIL di Lubnan selama setahun mulai 17 Okt tahun lepas.

Anggota Malbatt 850-7 bebas COVID-19 – Panglima ATM



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button