Parlimen: Malaysia kini berupaya hasilkan hampir semua makanan asas – MAFI


Datuk Seri Ahmad Hamzah

03/12/2020 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Malaysia berkeupayaan menghasilkan hampir semua bahan makanan asas yang diperlukan pada masa ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata berdasarkan kadar pengeluaran makanan negara, tahap sara diri bagi daging ayam dan itik, telur ayam dan itik serta ikan melebihi 90 peratus.

Bagi buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan pula, beliau berkata negara telah mencapai tahap sara diri melebihi 100 peratus kecuali untuk buah mangga, kelapa, kubis, cili dan halia.

“Bagaimanapun, beberapa bahan makanan lain seperti daging lembu, beras, sayur-sayuran dan buah-buahan beriklim sederhana seperti kubis, bawang, epal dan oren, negara masih bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan domestik,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang ingin tahu keupayaan negara dalam menjamin bekalan makanan negara tidak terputus bagi melindungi keterjaminan bekalan makanan.

Justeru itu, Ahmad berkata bagi memastikan keupayaan negara dalam menjamin bekalan makanan secara berterusan, kementerian tersebut telah mengenal pasti beberapa hala tuju baharu dalam sektor pertanian termasuk industri padi, tanaman dan ternakan serta perikanan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata hala tuju baharu itu termasuk mengoptimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan aplikasi teknologi moden dalam membangunkan varieti yang berkualiti bagi industri padi serta membangunkan komoditi sayur-sayuran dan buah-buahan bernilai tinggi untuk tujuan domestik dan eksport bagi industri tanaman.

Selain itu, pengeluaran daging dan susu ditingkatkan melalui penubuhan Lembaga Dominan Negara bagi industri ternakan dan meningkatkan pengeluaran susu melalui projek rintis tenusu di lima buah lembah tenusu, katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kini di peringkat akhir menyediakan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 ke arah pembangunan sektor agromakanan yang mampan dari 2021 hingga 2030.

Menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai teguran Laporan Audit Negara Tahun 2018 Siri 3 Pengurusan Aktiviti Kawalan Import Konsainan Pertanian, Ahmad berkata kementerian itu telah melakukan beberapa penambahbaikan berdasarkan laporan berkenaan.

Antara penambahbaikan itu ialah syarat-syarat pengimportan bagi sesuatu tumbuhan, produk tumbuhan dan artikel terkawal akan ditentukan berdasarkan ‘Pest Risk Analysis’ (PRA) yang bakal dinilai secara lebih terperinci bagi memastikan barangan diimport tersebut bebas daripada penyakit serta perosak tanaman, katanya.

“Turut dilakukan pendigitalan, pemeriksaan melalui penggunaan sistem i-Maqis untuk laporan pemeriksaan konsainan di pintu masuk,” katanya.

Sim dalam soalannya ingin tahu tindakan kementerian itu terhadap teguran Laporan Audit Negara Tahun 2018 Siri 3 Pengurusan Aktiviti Kawalan Import Konsainan Pertanian yang menunjukkan kelemahan memastikan konsainan pertanian yang diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar, berkualiti dan selamat serta pencapaian hingga kini.

Selain itu, Ahmad berkata elemen penguatkuasaan di pintu masuk secara bersepadu dengan semua jabatan dan agensi penguatkuasaan berkaitan turut diperkukuhkan.

“Hingga Oktober 2020, bilangan kes yang ditahan melakukan kesalahan ialah sebanyak 1,105 kes dengan nilai dagangan berjumlah RM134 juta; 913 kes dikompaun dengan nilai kutipan RM3 juta melibatkan kesalahan-kesalahan antaranya tiada import permit, tiada eksport permit,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kementerian tersebut mendapatkan pengesahan daripada dua pihak sebelum menerima barangan yang diimport.

WICV dorong transformasi industri automobil

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker